Inisiatif Linyi Trade City Permudah Akses Rantaian Bekalan Bagi Perniagaan Malaysia
Daripada Norhayati Mohd Akhir
LINYI (Shandong) 30 Okt (Bernama) -- Perniagaan di Malaysia kini akan mempunyai akses yang lebih cekap kepada rantaian bekalan di China susulan langkah Linyi Trade City Group memperkenalkan Inisiatif Perolehan Pasaran + Rakan Kongsi Global, yang menyepadukan perkhidmatan logistik, kastam dan kewangan di bawah satu platform.
Dalam temu bual bersama Bernama, Pengerusi Linyi Trade City Group Sun Siyong berkata inisiatif itu dirangka untuk menghubungkan permintaan pasaran luar negara dengan pembekal produk tempatan secara lebih berkesan, sekali gus memperluas perkhidmatan perdagangan antarabangsa bandar itu melangkaui urus niaga pembelian yang biasa.
“Linyi Trade City secara aktif berusaha menyepadukan sokongan dasar dengan perkhidmatan berkaitan perdagangan untuk memudahkan pembeli luar negara mendapatkan bekalan dari China.
“Bagi menyokong pengalaman perdagangan yang lancar ini, IMC Linyi International Market Centre sedang membangunkan platform perkhidmatan komprehensif yang merangkumi urusan kerajaan, perkhidmatan komersial dan operasi perdagangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Sun menjelaskan melalui penyelarasan sumber yang merangkumi pelepasan kastam, percukaian, pertukaran mata wang asing, perkhidmatan kewangan, logistik, khidmat perundingan undang-undang dan pensijilan, platform itu bertujuan mengurangkan dengan ketara masa dan usaha yang diperlukan oleh perniagaan dalam mengurus transaksi rentas sempadan.
"Di bawah program rintis perdagangan perolehan di pasaran China, perniagaan Malaysia yang layak kini boleh mengakses mekanisme perdagangan khusus yang memudahkan eksport melibatkan pelbagai kategori produk dan dengan jumlah perolehan yang lebih kecil," katanya.
Selain penyepaduan digital dan dasar, beliau menambah kumpulan itu telah menubuhkan gudang dan pejabat fizikal di Malaysia untuk memperkukuh komunikasi dengan perniagaan tempatan, mengumpul maklumat pasaran dan memupuk hubungan komersial yang lebih erat.
“Perniagaan Malaysia juga boleh meneroka peluang untuk menubuhkan pejabat, pusat pameran produk atau hab perolehan sendiri di Linyi bagi mengukuhkan hubungan langsung dengan sumber perindustrian,” katanya.
Sun berkata sebagai salah satu hab pengedaran borong utama di China, Linyi menawarkan pelbagai jenis produk merangkumi sektor bahan binaan, perkakasan, jentera, kelengkapan rumah dan barangan keperluan harian.
Menyentuh aspek pentingnya ketelusan dalam rantaian bekalan, Sun menegaskan Linyi Trade City telah memperkukuh pengurusan peniaga dan barangan dagangan di pasaran melalui proses pendaftaran perniagaan yang ketat, pemfailan maklumat produk dan dokumentasi pembelian yang terperinci.
“Kumpulan bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia pasaran dan kastam dalam pemeriksaan sampel produk, pemantauan risiko dan penilaian kredit peniaga,” katanya.
Bagi pasaran Malaysia khususnya, Sun berkata Linyi Trade City Group sedang menyelaraskan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pensijilan dan pematuhan bagi membantu pengeksport China memahami dan mematuhi peraturan import Malaysia yang ketat, khususnya yang berkaitan dengan pensijilan Halal.
“Industri makanan seperti ayam ternakan, kawalan pematuhan Halal yang ketat dikuatkuasakan di sepanjang rantaian pengeluaran, daripada sumber bekalan makanan ternakan dan pengurusan ladang hinggalah kepada penyembelihan dan pemprosesan, bagi meningkatkan keyakinan dalam pasaran Malaysia,” katanya.
Pada masa hadapan, Sun berkata pengembangan berterusan Linyi Trade City ke pasaran antarabangsa, yang disokong oleh pendekatan bersepadu merangkumi perolehan pasaran, pameran di luar negara dan pengantarabangsaan jenama, dijangka membolehkan pembeli Malaysia mendapat akses yang lebih konsisten dan boleh dipercayai kepada rangkaian rantaian bekalan China yang luas.
Pengembangan strategik ini selari dengan kerjasama ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara. Statistik terkini menunjukkan perdagangan dua hala Malaysia-China melonjak 35.1 peratus tahun ke tahun kepada RM456.68 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Ini menunjukkan kedudukan China yang kekal sebagai rakan dagang penting dan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian dalam rantaian bekalan rentas sempadan yang lancar.
-- BERNAMA