Anak Syarikat SSF Home Beli Tiga Tanah Di Pulau Indah Bernilai RM42.47 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh SSF Home Group Bhd, SSF Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan IFFCO Foods Sdn Bhd untuk membeli tiga bidang tanah di Pulau Indah, Klang bernilai RM42.47 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, peruncit perabot itu memaklumkan cadangan pembelian itu adalah sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk meningkatkan keupayaan pergudangan dan logistik, menambah baik kecekapan operasi serta menyokong pengembangan perniagaan pada masa depan.
“Pembelian tanah yang dicadangkan akan membolehkan kumpulan membangunkan kemudahan gudangnya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada premis sewaan dan memberikan lebih fleksibiliti dalam menguruskan operasi pergudangan dan pengedaran.
“Lokasi strategik tanah juga dijangka memudahkan operasi logistik yang lebih cekap dan berpotensi menghasilkan penjimatan kos dalam jangka panjang,” menurutnya.
SSF Home memaklumkan harga pembelian ditentukan berdasarkan prinsip penjual dan pembeli bersedia selepas mempertimbangkan lokasi, keluasan tanah dan kategori kegunaan tanah serta nilai pasaran keseluruhan tanah.
Menurutnya cadangan pembelian akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, dan kumpulan juga telah mendapat kemudahan pembiayaan sehingga 90 peratus daripada sebuah bank.
Susulan urus niaga itu, nisbah tahap kadar hutang kumpulan dijangka meningkat kepada 22.14 peratus daripada sifar peratus berdasarkan kedudukan kewangan disatukan teraudit pada 30 Jun 2026.
Bagaimanapun, cadangan urus niaga itu dijangka tidak memberi impak yang ketara terhadap pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
“Sekiranya tidak berlaku perkara luar jangka dan tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat SPA, cadangan pembelian tanah dijangka selesai dalam tempoh empat bulan daripada tarikh pelaksanaan SPA,” menurut kumpulan itu.
-- BERNAMA