Citaglobal Lupus Kepentingan 20 Peratus Dalam Manjaran Kepada BProperty Pada Harga RM50 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Citaglobal Bhd telah memeterai perjanjian bersyarat untuk melupuskan keseluruhan 20 peratus pegangannya dalam Manjaran Sdn Bhd kepada Berjaya Property Bhd (BProperty) dengan harga RM50 juta, yang akan dibayar penuh dalam saham BProperty.
Kumpulan terpelbagai itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata penjualan itu melibatkan 1.6 juta saham biasa dalam Manjaran dan di bawah perjanjian itu, BProperty akan menerbitkan 178.57 juta saham baharu pada 28 sen setiap satu kepada Citaglobal.
“Cadangan pelupusan itu membolehkan kumpulan tersebut merealisasikan pelaburannya dalam Manjaran pada penilaian tersirat sebanyak RM250 juta, mewakili peningkatan 25 peratus berbanding penilaian tersirat RM200 juta.
“Langkah ini dijangka menimbulkan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan kepada kumpulan pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018,” kata Citaglobal.
Cadangan pelupusan itu tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham.
“Manjaran akan berhenti menjadi syarikat bersekutu Citaglobal setelah selesai cadangan pelupusan.
“Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pelupusan itu diunjurkan selesai menjelang penghujung 2026,” katanya.
Astramina Advisory Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat kewangan.
-- BERNAMA