Peluasan FBM KLCI Beri Gambaran Ekonomi Malaysia Lebih Tepat - AHAM Capital

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Peluasan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) daripada 30 kepada 50 konstituen dijangka memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai ekonomi domestik Malaysia.

Menurut AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital), impak terhadap wajaran konstituen sedia ada dijangka masih dapat diuruskan.

Ad Banner

Timbalan Ketua Ekuiti (Malaysia) AHAM Capital David Loh berkata peluasan itu akan memberikan liputan lebih luas terhadap pasaran domestik yang telah lama diwakili oleh jumlah syarikat yang kecil selain membolehkan prestasi lebih banyak sektor terutama teknologi dicerminkan dalam indeks penanda aras itu.

“Sejak sekian lama, kritikan utama terhadap indeks Malaysia banyak tertumpu kepada sektor ekonomi lama. Banyak saham teknologi mencatatkan prestasi baik sebelum ini namun prestasi itu tidak dicerminkan dalam FBM KLCI berikutan saham-saham itu tidak tersenarai dalam indeks berkenaan.

“Dengan kemasukan saham teknologi ini, indeks baharu itu akan dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai pasaran pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama di luar sesi libat urus media dan sesi jaringan bersama pengurus dana AHAM Capital di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pelaksanaan itu akan bermula pada 21 Dis 2026, dengan Fasa 1 menyaksikan kemasukan 20 konstituen baharu dalam FBM KLCI pada 50 peratus daripada wajaran indeks akhir masing-masing.

Pada Fasa 2, 20 konstituen baharu itu akan mencapai 100 peratus daripada wajaran indeks akhir masing-masing, sekali gus melengkapkan peralihan kepada FBM KLCI yang ditambah baik berkuat kuasa 21 Jun 2027.

Menurut Loh pelaksanaan secara berperingkat itu bertujuan meminimumkan gangguan terhadap pasaran berikutan kemasukan 20 konstituen baharu akan mengurangkan wajaran 30 kaunter sedia ada.

“Berdasarkan pengiraan awal oleh pakar strategi indeks, kesan terhadap wajaran kaunter berkenaan dijangka tidak melebihi angka satu digit yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata peralihan itu dirancang untuk meminimumkan gangguan pasaran manakala kesan keseluruhannya dijangka masih dapat diuruskan.

Susulan peluasan FBM KLCI, FBM 70 akan dikurangkan daripada 70 kepada 50 konstituen dan dinamakan semula sebagai Indeks Mid Cap FTSE Bursa Malaysia.

Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 pula akan kekal tanpa perubahan dengan 100 konstituen.

-- BERNAMA