Selangor Tarik Pelaburan Berpotensi Lebih RM3 Bilion Daripada Empat Pelabur Asing

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Selangor menarik minat pelaburan berpotensi bernilai lebih RM3 bilion daripada empat pelabur asing menerusi surat hasrat (LOI) yang diselaraskan oleh UOB Malaysia kepada Invest Selangor, mencerminkan minat kukuh pelabur untuk meneroka peluang perniagaan dan pertumbuhan di negeri itu.

Pada hari ini, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 menyaksikan penyampaian beberapa LOI daripada pelabur asing, iaitu Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, Galaxy Data Centre, XTC New Energy dan Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co. Ltd.

Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Ad Banner

Dalam ucapan, Amirudin berkata Selangor bukan destinasi bagi pelabur yang mencari tanah atau tenaga kerja murah, sebaliknya menawarkan peluang membina kerjasama jangka panjang serta akses kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Jika anda mencari tanah atau tenaga kerja murah, Selangor bukan tempatnya.

“Namun, jika anda mahu membina kerjasama jangka panjang serta mendapatkan tenaga kerja dan pasukan pembangunan terbaik Malaysia, saya menggesa anda supaya mempertimbangkan Selangor,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata daya tahan ekonomi tidak dapat dibina secara bersendirian kerana kemakmuran sebenar bergantung pada kerjasama serantau, bukannya persaingan yang hanya menguntungkan satu pihak dengan merugikan pihak lain.

“Asia Tenggara berada pada titik perubahan bersejarah. Dengan populasi muda dan dinamik melebihi 680 juta orang, ASEAN berkembang pesat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi global.

“Dunia melihat rantau ini bukan sekadar sebagai sumber bekalan, tetapi juga sebagai rakan kerjasama dan pasaran yang menawarkan akses luas. Bersama-sama Afrika, ASEAN merupakan antara rantau yang mencatat pertumbuhan terpantas di dunia,” katanya.

Amirudin berkata Malaysia sejak sekian lama mempunyai kedudukan kukuh dalam industri pembungkusan dan pengujian semikonduktor, namun Selangor kini berusaha meneroka segmen bernilai tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), automasi reka bentuk elektronik (EDA) dan pembangunan harta intelek.

“Inisiatif seperti Malaysia Semiconductor IC Design Park di Puchong mencerminkan komitmen kami secara konkrit.

“Kami tidak hanya menunggu pemindahan teknologi berlaku secara beransur-ansur, sebaliknya membangunkan inkubator, menyediakan infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi dan meningkatkan kemahiran jurutera tempatan supaya mereka dapat mereka bentuk cip bertaraf dunia di Selangor.

“Kami mahu generasi semikonduktor seterusnya yang menggerakkan kecerdasan buatan (AI) global dirangka, dibangunkan dan dihasilkan di negeri ini,” katanya.

SIBS 2026 bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan berlangsung hingga 17 Okt, menghimpunkan pelabur, pemimpin industri, wakil kerajaan serta komuniti perniagaan dari Malaysia, rantau ASEAN dan negara lain.

Dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd dengan Kerajaan Negeri Selangor sebagai tuan rumah, SIBS 2026 bertemakan “Selangor, the Gateway to ASEAN” dan menampilkan 526 reruai dengan penyertaan antarabangsa dari negara termasuk Singapura, Indonesia, Jepun, Filipina, Thailand, India, Jerman, Amerika Syarikat, China, Taiwan, Bangladesh, Kenya, Sri Lanka, Brazil dan Vietnam.

Acara selama empat hari itu menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung serta nilai transaksi berpotensi sebanyak RM8 bilion. Program itu turut disokong Program Delegasi Jemputan yang melibatkan 110 delegasi, manakala 188 penceramah akan menyumbang kepada perbincangan menerusi sembilan program persidangan khusus.

-- BERNAMA