J&T Express, Asia Aero Network Lanjut Perkongsian Kargo Udara Sehingga 2030
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- J&T Express Malaysia dan Asia Aero Network telah melanjutkan perkongsian sewa kargo udara mereka sehingga 2030 di bawah perjanjian yang ditandatangani hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) J&T Express Malaysia, Vincent Low berkata perjanjian itu akan mengukuhkan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan kargo udara yang boleh dipercayai dan cekap, khususnya antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
"Dari Januari hingga September tahun ini, kapasiti pengangkutan udara kami meningkat lebih daripada 15 peratus. Ini memberikan kami lebih fleksibiliti untuk menyokong permintaan yang semakin melonjak bagi perkhidmatan logistik kami," katanya melalui satu kenyataan.
Sejak melancarkan operasi kargo udara pada Januari 2026, kedua-dua syarikat itu telah menyelesaikan lebih 300 penerbangan sewa, mengangkut lebih kurang 6,300 tan kargo antara Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
Low berkata perkongsian itu juga telah meningkatkan prestasi pengangkutan pada waktu puncak, dengan masa transit sepanjang Ramadan 2026 dikurangkan kira-kira lima hingga enam jam berbanding tahun sebelumnya.
Dengan keperluan kargo udara harian dijangka mencecah 250 hingga 300 tan pada tahun-tahun akan datang, beliau berkata perkongsian itu akan mengukuhkan keupayaan pengangkutan udara J&T Express Malaysia selain menyokong rangkaian logistik serantaunya yang lebih luas.
Sementara itu, CEO Asia Aero Network, Iman Marco berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk membina hubungan perniagaan jangka panjang.
"Bagi Asia Aero Network, ia memberi peluang untuk merancang rapat dengan pelanggan kami dan menyokong keperluan kargo mereka dengan perkhidmatan yang konsisten serta boleh dipercayai. Keutamaan kami sekarang ialah pelaksanaan dan memperoleh kepercayaan itu setiap hari," katanya.
Perjanjian itu mewujudkan rangka kerja untuk kedua-dua pihak mengembangkan kerjasama dalam perkhidmatan sewa kargo udara dan meneroka peluang perniagaan tambahan di Malaysia serta di rantau ASEAN.
-- BERNAMA