BERITA TERKINI   ACLE: Pohang 0-2 JDT | Lelaki Islam dipercayai lakukan ritual bertentangan hukum syarak ditahan bersama ibunya di Kuala Lumpur, tengah hari tadi. - JAIS | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus dan STAM di Melaka diteruskan esok ikut jadual - JPN Melaka | 

Ringgit Ditutup Rendah Menjelang Pengumuman Data Inflasi AS

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi negara maju itu yang dijadualkan esok, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0835/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0820/0865 yang dicatatkan semalam.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi TA Securities Shazma Juliana Abu Bakar berkata data inflasi AS itu boleh mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) serta pergerakan ringgit dalam masa terdekat.

Beliau berkata ringgit bagaimanapun dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh berbaki urus niaga minggu ini, disokong oleh sentimen positif pelabur susulan pembentangan Belanjawan 2027 serta komitmen berterusan kerajaan terhadap usaha konsolidasi fiskal.

“Namun, ketegangan geopolitik di Asia Barat dan lonjakan harga minyak mentah Brent, berkemungkinan meningkatkan lagi ketidaktentuan luaran dan mengekalkan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang yang selamat,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, ringgit ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5833/5864 daripada 2.5739/5769, susut sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4057/4177 daripada 5.4017/4077 dan turun berbanding euro kepada 4.5654/5704 daripada 4.5637/5687.

Selain itu berbanding mata wang serantau ASEAN, ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.4 daripada 227.9/228.2 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.50/6.51.

Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1902/1940 daripada 3.1873/1911 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.1663/1844 daripada 12.1391/1568.

-- BERNAMA