BERITA TERKINI   ACLE: Pohang 0-2 JDT | Lelaki Islam dipercayai lakukan ritual bertentangan hukum syarak ditahan bersama ibunya di Kuala Lumpur, tengah hari tadi. - JAIS | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus dan STAM di Melaka diteruskan esok ikut jadual - JPN Melaka | 

Pelaksanaan Projek Air Sarawak Dijangka Bergerak Lebih Pantas - CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan projek air di Sarawak dijangka dapat dipercepat hasil daripada struktur tadbir urus yang diperkemas berikutan penggabungan agensi air di negeri itu.

CIMB Securities memaklumkan penggabungan itu akan memudahkan pelaksanaan Pelan Induk Air Sarawak dengan lebih pantas, menyasarkan liputan bekalan air 100 peratus menjelang 2030.

Sasaran itu lebih baik berbanding liputan kira-kira 71 peratus ketika ini di kawasan luar bandar dan melibatkan pelaburan terkumpul lebih RM20 bilion, termasuk RM1.1 bilion untuk menggantikan paip lama sepanjang 2,740 kilometer.

Ad Banner

“Dengan penggabungan yang kini telah selesai dan Sarawak Water Sdn Bhd beralih ke fasa pelaksanaan, kami percaya struktur tadbir urus yang diselaraskan ini seharusnya memudahkan pelaksanaan Pelan Induk Air Sarawak dengan lebih pantas,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikannya.

CIMB Securities memaklumkan Belanjawan Sarawak 2027 memperuntukkan RM892 juta untuk memperkukuh infrastruktur bekalan air, meningkat 10 peratus berbanding tahun lepas dan mewakili kira-kira enam peratus daripada keseluruhan belanjawan negeri.

Peruntukan itu meliputi RM183 juta untuk Grid Bekalan Air Sarawak, RM255 juta bagi program penggantian saluran paip air melalui pembiayaan alternatif dan RM454 juta untuk kemudahan bekalan air termasuk kerja-kerja pembesaran dan naik taraf loji rawatan di seluruh negeri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, kadar liputan bekalan air di Sarawak ketika ini ialah 86.1 peratus berbanding purata kebangsaan sebanyak 94.7 peratus.

“Kami melihat peruntukan yang ditambah untuk infrastruktur air sebagai satu perkembangan positif bagi Insights Analytics Bhd (IAB), kerana ia mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam menaik taraf dan mendigitalkan rangkaian bekalan airnya.

"Berbekalkan kedudukan kukuh yang telah lama dibina di negeri itu, IAB mempunyai rekod prestasi lebih dua dekad menerusi kerjasama berterusan dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water Sdn Bhd," tambahnya.

CIMB Securities memaklumkan IntelliWater System milik IAB telah digunakan oleh JBALB sejak 2021 dan masih digunakan sehingga kini, disokong oleh kontrak penyelenggaraan yang diperbaharui setiap tahun, manakala modul pemetaan digital yang dipasang untuk Lembaga Air Sibu pada 2022 adalah serasi dengan sistem Sarawak Water yang telah disatukan.

“Kami percaya kombinasi antara rekod prestasi tempatan, teknologi proprietari, pelaksanaan sistem sedia ada yang telah digunakan dan hubungan erat yang telah lama terjalin dengan agensi berkaitan memberikan IAB kelebihan daya saing yang ketara dalam tender akan datang.

“Bersama-sama dengan kejayaan meraih projek baru-baru ini, kami percaya IAB berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam mengurangkan air tidak berhasil (NRW), pendigitalan rangkaian bekalan air, naik taraf loji rawatan dan infrastruktur saluran paip ketika pelaburan untuk air di Sarawak semakin rancak dalam tempoh beberapa tahun,” tambahnya.

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap IAB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.80 serta tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028.

-- BERNAMA