Lambakan Besi Dan Keluli, Sembilan Langkah Anti-lambakan Berkuat Kuasa

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sektor besi dan keluli merupakan antara sektor yang kerap menghadapi tekanan daripada lambakan import barangan perantara, dengan lapan daripada sembilan langkah anti-lambakan yang sedang berkuat kuasa di Malaysia melibatkan produk dalam sektor berkenaan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata langkah itu melibatkan produk seperti dawai keluli serta kepingan keluli atau besi bergalvani, manakala satu lagi langkah terkait dengan produk plastik dan resin.

"Produk-produk ini pada umumnya merupakan input perantara dalam rantaian pengeluaran dan bukannya produk akhir atau barangan pengguna murah yang dijual terus kepada pengguna.

Ad Banner

"Untuk melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil, kerajaan secara berterusan memantau trend lambakan dan harga import," kata kementerian itu.

Tindakan remedi perdagangan seperti pengenaan duti anti-lambakan, duti timbal balas atau duti pelindung boleh dilaksanakan sekiranya siasatan membuktikan berlaku kemudaratan atau lonjakan import mengikut kriteria undang-undang tempatan dan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Di samping itu, kerajaan telah menambah baik kerangka perundangan melalui Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 [Akta 504], selain mengkaji semula Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 bagi memastikan instrumen remedi perdagangan kekal relevan serta berkesan," kata kementerian itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MITI berkata sejak Malaysia menganggotai WTO pada 1995, kerajaan telah melaksanakan 77 langkah anti-lambakan dan tiga langkah pelindung, manakala 38 siasatan anti-lambakan dimulakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, jumlah import Malaysia meningkat 22.4 peratus kepada RM1.158 trilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, dengan import dari China adalah sebanyak RM308.12 bilion iaitu 21.1 peratus daripada jumlah keseluruhan import dan menokok 41.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini.

MITI berkata peningkatan import itu didorong terutamanya oleh barangan pengantara dan barangan modal untuk menyokong aktiviti pengeluaran serta pelaburan, yang bertambah 15.6 peratus berbanding barangan pengguna yang naik 3.7 peratus.

Kementerian itu berkata statistik berkenaan mendorong penilaian lanjut bagi menentukan sama ada kenaikan import melibatkan amalan perdagangan tidak adil yang memudaratkan pengeluar tempatan yang menghasilkan barangan serupa.

MITI berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai penilaian terhadap kesan pengalihan perdagangan dan lambakan import susulan peningkatan tarif global, termasuk sektor yang mengalami lambakan import barangan murah serta langkah melindungi industri tempatan.

-- BERNAMA