Projek Rintis CCUS Industri Besi, Keluli Dijangka Dimuktamadkan Akhir 2027 - MITI

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang melaksanakan projek rintis pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di sebuah kilang besi dan keluli di Pantai Timur yang dijangka dimuktamadkan pada akhir 2027.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, MITI memaklumkan bahawa projek itu dijangka memberikan gambaran yang jelas berserta kos dan data pelaporan yang boleh dijadikan panduan tentang kesesuaian kaedah CCUS untuk industri besi dan keluli serta rantaian bekalannya, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Sektor besi dan keluli diberi tumpuan kerana terdedah kepada keperluan pelaporan karbon antarabangsa seperti Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah (EU-CBAM) serta merupakan penyumbang utama pelepasan karbon dalam sektor Proses Perindustrian dan Penggunaan Produk (IPPU).

Ad Banner

“Di samping itu, langkah mitigasi menerusi kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu semata-mata tidak berupaya mengurangkan pelepasan karbon daripada proses pengeluaran besi dan keluli, justeru CCUS merupakan pelengkap penting dalam laluan penyahkarbonan industri ini,” menurut MITI.

Kementerian itu menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai langkah membantu PKS pembuatan membangunkan data pelepasan karbon yang boleh diaudit bagi memenuhi keperluan EU-CBAM dan ESG dalam rantaian bekalan global, serta memperluas penggunaan i-ESGReady dan i-ESGStart.

Dalam pada itu, MITI melalui Malaysia Steel Institute (MSI) telah membangunkan Kerangka Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Industri Besi dan Keluli bagi membantu syarikat melaksanakan proses ESG secara berstruktur, merangkumi penilaian, pendedahan, pelaporan dan pengesahan data karbon.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pendekatan itu termasuk latihan dan pembangunan kapasiti, penilaian ESG khusus industri, pengumpulan data dan pelaporan secara sistematik, kebolehkesanan serta kebolehauditan data, penarafan dan penambahbaikan berterusan selain khidmat konsultansi dan bimbingan khususnya kepada PMKS yang tidak mempunyai pegawai ESG atau kemampanan sepenuh masa,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa pihaknya juga memperkenalkan i-ESGStart sebagai panduan asas untuk membantu industri pembuatan, termasuk PMKS, mengadaptasi amalan ESG, termasuk pelaporan kemampanan dan pengiraan pelepasan gas rumah kaca, selaras dengan keperluan pasaran dan piawaian antarabangsa.

“Bagi memperluas penggunaan i-ESGReady dan i-ESGStart, MITI akan terus mempromosikan kedua-dua instrumen ini dalam program kesedaran dan pembangunan kapasiti ESG bersama wakil industri.

“Pendekatan ini akan diberi tumpuan kepada PMKS, khususnya syarikat pembuatan yang terlibat dalam rantaian bekalan global dan berhadapan dengan peningkatan keperluan ESG serta pelaporan karbon,” menurut MITI.

-- BERNAMA