Keberkesanan Belanjawan 2027 Bergantung Kepada Penyaluran Bantuan Pantas, Koordinasi Kerajaan - Ahli Ekonomi
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2027 bergantung kepada cara kerajaan menyalurkan bantuan dengan pantas serta koordinasi antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengurangkan beban birokrasi terhadap sektor perniagaan.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini berikutan risiko karenah birokrasi yang sentiasa wujud memandangkan penyaluran bantuan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi di peringkat Persekutuan, selain kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata kesemua ini merupakan satu ekosistem yang perlu diamati bagi melancarkan perjalanan perniagaan.
"Jadi, ini menuntut jentera kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun PBT, mempunyai sifat empati terhadap sektor perniagaan kerana sektor itu sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kenaikan kos bahan mentah, kos buruh dan kos pematuhan peraturan.
"Kos pematuhan peraturan ini sudah pasti membentuk suatu kos tersembunyi yang boleh memberi kesan kepada prestasi perniagaan," katanya dalam program Fokus 15 bertajuk "Memacu Ekonomi, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat" terbitan Bernama TV bersempena dengan Belanjawan 2027.
Justeru, beliau berkata, ketiga-tiga badan tersebut perlu menunjukkan koordinasi yang baik supaya perjalanan perniagaan menjadi lebih lancar yang seterus dapat menghasilkan perniagaan dan sektor industri lebih berdaya saing pada masa akan datang.
Mengulas tentang Belanjawan 2027, Mohd Afzanizam berkata belanjawan itu bersifat pragmatik kerana kerajaan mengambil kira kesukaran yang dihadapi rakyat dan golongan peniaga menerusi pelbagai langkah bantuan serta pengurangan cukai.
Katanya, kerajaan kekal komited untuk menjadikan disiplin kewangan Persekutuan sebagai tunjang utama dasar fiskal, dengan menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 berbanding 3.6 peratus pada 2026.
"Kalau kita lihat dari segi jumlah peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM459 bilion, sebenarnya angka ini (lebih) tinggi jika dibandingkan dengan peruntukan pada 2026 iaitu sekitar RM444 bilion.
"Jadi saya kira pendekatan itu pragmatik dan menyantuni isu yang dialami oleh pihak isi rumah dan juga peniaga dan masih lagi mengekalkan kekal berdisiplin dalam merangka kewangan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA