BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | 

Belanjawan 2027: PMKS Diberi Peluang Sesuaikan Operasi, Gaji Minimum RM2,000 Mulai Jun

PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Pengecualian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta daripada pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 bertujuan memberi ruang kepada perniagaan berkenaan untuk menyesuaikan model operasi masing-masing.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata langkah itu mengambil kira keupayaan majikan, khususnya perniagaan kecil yang berdepan dengan tekanan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Di bawah Belanjawan 2027, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.

Ad Banner

“Kerajaan akan turut memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja yang menetapkan gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai usaha memperbaiki struktur upah mengikut tahap kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat mengenai isu-isu semasa berkaitan Belanjawan 2027 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia semalam. Ia antara lain memberi tumpuan kepada daya tahan perniagaan dan kebajikan pekerja.

Menerusi program dalam talian selama kira-kira 90 minit itu, Johan berkata peningkatan gaji juga perlu disokong oleh pertumbuhan produktiviti supaya perniagaan dapat terus beroperasi dan menawarkan peluang pekerjaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, katanya kemudahan pembiayaan dan jaminan untuk PMKS serta syarikat pertengahan ditingkatkan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion tahun ini.

Beliau berkata pembiayaan itu bertujuan membantu perniagaan mengurus aliran tunai, meningkatkan kapasiti operasi serta melabur dalam peralatan dan teknologi.

“Kerajaan turut mencadangkan pengurangan kadar cukai pendapatan bagi PMKS yang layak mulai tahun taksiran 2027 daripada 15 kepada 14 peratus bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama dan daripada 17 kepada 16 peratus bagi banjaran RM150,001 hingga RM600,000,” katanya.

Langkah itu dianggarkan memanfaatkan kira-kira 300,000 PMKS dengan penjimatan cukai sehingga RM6,000 setahun.

Selain itu, tambahan pembiayaan RM5 bilion melalui Bank Negara Malaysia disediakan bagi membantu perusahaan yang terjejas, termasuk akibat gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos susulan konflik di Asia Barat.

Johan berkata usaha meningkatkan pendapatan pekerja perlu bergerak seiring dengan langkah memperkukuh perniagaan memandangkan kelangsungan syarikat turut menentukan keupayaan majikan untuk menyediakan gaji yang lebih baik.

“Kerajaan berharap pendekatan itu dapat membantu pekerja menikmati pendapatan lebih tinggi tanpa mengetepikan keperluan PMKS untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah RM25 bilion pelaburan daripada GLIC; sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.  

Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.

-- BERNAMA