BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | 

Kerajaan Komited Kurangkan Fiskal Defisit Secara Berperingkat - Ketua Setiausaha Perbendaharaan

PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat kepada tiga peratus dalam jangka sederhana bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan, dengan menyasarkan defisit diturunkan kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata sasaran itu ditetapkan ketika kerajaan menjangkakan negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang agak sederhana tahun depan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat mengenai isu-isu semasa berkaitan Belanjawan 2027 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia pada Ahad.

Ad Banner

“Bagi tahun 2027, kita menjangkakan mungkin ada sedikit penyederhanaan pertumbuhan KDNK, yang juga mungkin disebabkan antaranya ialah ketidaktentuan ekonomi global.

“Namun begitu, kita masih mengunjurkan bahawa pengangguran akan kekal di tahap yang rendah, tetapi kita mungkin akan mula melihat sedikit peningkatan kadar inflasi,” katanya.

Johan berkata berdasarkan keadaan makroekonomi itu kerajaan akan terus mengamalkan dasar fiskal berhemat dengan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.6 peratus tahun ini sebelum dikurangkan kepada 3.3 peratus pada 2027 dan 3 peratus pada 2028.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK juga disasarkan menurun secara berperingkat daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64 peratus pada 2026 dan 63.7 peratus pada 2027.

Pada masa sama, katanya, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM459.8 bilion dalam  Belanjawan 2027, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, berbanding anggaran asal RM419.2 bilion bagi Belanjawan 2026.

Johan menyifatkan Belanjawan 2927 sebagai belanjawan mengembang yang membolehkan kerajaan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, apabila pelaburan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerjasama awam-swasta serta Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) turut diambil kira, jumlah keseluruhan perbelanjaan dan pelaburan yang digariskan dalam Belanjawan 2027 mencapai RM510 bilion, berbanding RM470 bilion dalam Belanjawan 2026.

“Subsidi bahan api negara dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion tahun depan, ketika kerajaan berusaha mengimbangi keperluan melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup dengan usaha mengukuhkan kedudukan fiskal,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan kerajaan perlu terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, namun pada masa sama diurus secara berhemat.

Mengulas lanjut, Johan berkata kerajaan boleh membuat pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pembangunan, tetapi perbelanjaan mengurus perlu dibiayai melalui hasil kerajaan.

Mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap harga barangan, beliau berkata peningkatan nilai mata wang tempatan itu tidak semestinya menyebabkan harga barangan import turun secara automatik.

“Faktor seperti struktur pasaran, persaingan dan kos operasi turut mempengaruhi penetapan harga,” katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, selain usaha meningkatkan persaingan dalam pasaran penting bagi memastikan pengguna mendapat manfaat daripada perubahan kos dan kadar pertukaran mata wang.

Johan berkata kerajaan turut melihat keperluan memudahkan proses import dalam sektor yang mempunyai bilangan pemain terhad bagi menggalakkan persaingan.

Pendekatan itu diharap dapat memastikan manfaat pengukuhan ringgit disalurkan kepada pengguna, sementara kerajaan meneruskan usaha mengawal defisit dan mengurus perbelanjaan negara secara bertanggungjawab.

Ringgit dibuka tinggi pagi ini meningkat kepada 4.0820/0880 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0830/0875 sebelumnya mendapat sokongan daripada komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal susulan pembentangan Belanjawan 2027.

Pada Jumaat (9 Okt) Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah RM25 bilion pelaburan daripada GLIC iaitu RM11 bilion pelaburan awam-swasta dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 sebanyak RM510 bilion dan meneruskan dasar fiskal mengembang.  

Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.

-- BERNAMA