Perdagangan Malaysia Kekal Berdaya Tahan, Kepelbagaian Pasaran Perlu Dipertingkat - MoF
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Perdagangan luar Malaysia kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2026, dengan jumlah perdagangan meningkat 22.4 peratus kepada RM1.795 trilion, tetapi negara perlu memperkukuh rantaian bekalan dan mempelbagaikan pasaran eksport serta sumber import.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), langkah itu bagi mengurangkan kesan kejutan luaran pada masa depan yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Kementerian itu memaklumkan negara perlu bergerak lebih jauh ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai global dan mengurangkan kerentanan kepada gangguan luaran untuk memperkukuh daya saing serta daya tahan ekonomi.
“Malaysia perlu memperkukuh jaminan keselamatan perdagangan dan membina daya tahan negara secara strategik terhadap sebarang gangguan global pada masa hadapan termasuk meneroka pasaran eksport dan sumber import baharu,” katanya dalam Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan hari ini.
MoF memaklumkan kepelbagaian sumber import dapat membantu mengimbangi defisit bekalan luar jangka, di samping mewujudkan rantaian bekalan yang lebih fleksibel dan berdaya tahan.
Perdagangan luar Malaysia kekal berdaya tahan dalam tempoh enam bulan pertama 2026, didorong oleh peningkatan perdagangan dengan rakan dagang utama, khususnya China yang mencatat pertumbuhan 30.6 peratus, diikuti Amerika Syarikat (25.7 peratus), Taiwan (34.7 peratus), Singapura (21.5 peratus) dan Hong Kong (45.8 peratus).
Kementerian itu menambah Malaysia perlu membangunkan strategi perdagangan yang berdaya tahan secara komprehensif dan meliputi pelbagai aspek bagi mencapai kemampanan domestik.
“Kerajaan terus meningkatkan usaha untuk mempercepat integrasi dan kecanggihan dengan rantaian bekalan nilai ditambah lebih tinggi bagi mengurangkan pendedahan kepada kejutan luaran termasuk melalui kemajuan teknologi dan inovasi domestik,” menurutnya.
Menurut MoF, Malaysia sedang merangka hala tuju ke arah menarik pelaburan dalam industri dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan domestik.
Berteraskan kerangka Ekonomi MADANI dan dilengkapi oleh Rancangan Malaysia Ke-13, 2026 - 2030, pelbagai dasar termasuk Strategi Semikonduktor Negara (NSS), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Kerangka Insentif Baharu (NIF), Pelan Tindakan AI Kebangsaan (2026 - 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah digubal bagi membolehkan Malaysia menguasai rantaian nilai global yang lebih luas, tambahnya.
“Dasar itu memberi keutamaan kepada usaha mengukuhkan keupayaan pembuatan tempatan, mempercepat inovasi teknologi dan memperluas penyertaan domestik dalam segmen nilai ditambah lebih tinggi terutamanya dalam ekosistem elektronik termaju dan semikonduktor,” jelasnya.
-- BERNAMA