BNM Tambah RM5 Bilion Bantu PKS Terkesan Konflik
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju menambah RM5 bilion kepada peruntukan sedia ada sebanyak RM5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat mendapatkan pembiayaan perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata institusi perbankan turut menawarkan kad kredit asas dengan kadar faedah tidak melebihi 14 peratus setahun bagi mengurangkan beban kewangan pengguna.
“Penghargaan kepada Alliance Bank, Maybank dan CIMB yang telah menawarkan kemudahan ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memperuntukkan RM7 bilion merentasi tujuh sektor strategik bagi menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi dan sektor teras pembangunan negara, termasuk tenaga boleh baharu, logistik, aeroangkasa dan semikonduktor.
Anwar berkata bagi tahun depan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion.
Beliau berkata liputan SJPP akan diperluas kepada syarikat peringkat pertengahan dalam semua sektor, manakala had jaminan akan ditingkatkan sehingga RM50 juta.
“Sebanyak RM1 bilion jaminan SJPP akan dikhususkan bagi menyokong pengembangan syarikat tempatan melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” katanya.
-- BERNAMA