Hutang, Liabiliti Kerajaan Berjumlah RM1.76 Trilion Pada Jun 2026
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Hutang dan liabiliti kerajaan termasuk projek yang disokong kerajaan berjumlah RM1.76 trilion atau 80.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2026, berbanding RM1.71 trilion atau 84.4 peratus daripada KDNK pada tahun 2025, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Liabiliti tersebut merangkumi hutang kerajaan Persekutuan, komitmen jaminan serta komitmen kewangan daripada kerjasama awam-swasta (PPP) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Kerajaan akan terus memantau dengan rapi tahap pendedahan hutang dan liabiliti serta risiko berkaitan terutamanya komitmen yang berpotensi menyebabkan obligasi fiskal pada masa hadapan, bagi memastikan risiko kekal terkawal dan selaras dengan objektif fiskal yang dimandatkan di bawah Akta 850,” kata MoF dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kementerian itu, kerajaan terus mengekalkan komitmen untuk menambah baik ketelusan pelaporan fiskal berpandukan penanda aras utama antarabangsa.
Bagi jaminan kewangan, pada akhir Jun 2026, ia berjumlah RM447.3 bilion, mewakili 20.4 peratus daripada KDNK kekal di bawah had statutori 25 peratus daripada KDNK seperti termaktub di bawah Jadual 1 Akta 850.
Daripada jumlah itu, MoF berkata jaminan terkumpul di bawah Akta 96 berjumlah RM354.4 bilion atau 16.2 peratus daripada KDNK, jaminan di bawah Akta 61 (RM92.9 bilion), manakala surat ikatan dan sokongan (RM28.9 bilion), dan skim jaminan (RM63.95 bilion).
Sementara itu, skim jaminan awam ditadbir oleh Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan Bhd, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd merekodkan pendedahan terkumpul sebanyak RM64 bilion, atau 2.9 peratus daripada KDNK.
Komitmen jaminan pula berjumlah RM248.3 bilion atau 55.5 peratus daripada jumlah keseluruhan jaminan kewangan terkumpul.
“Kedudukan ini secara amnya kekal stabil berbanding akhir 2025, mengambil kira keperluan pembiayaan tambahan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan DanaInfra Nasional Bhd diimbangi penebusan obligasi pembiayaan oleh GovCo Holdings Bhd, TRX City Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda),” menurut kementerian itu.
MoF berkata pada akhir Jun 2026, obligasi kewangan di bawah pajakan kewangan PPP berjumlah RM97.7 bilion atau 4.5 peratus daripada KDNK.
Komitmen PPP yang baharu dan sedia ada akan terus dipantau dari aspek nilai untuk wang, kemampuan kewangan dan kapasiti fiskal keseluruhan kerajaan bagi memastikan kaedah tersebut kekal berdaya maju dan mampan dari segi kewangan, katanya.
Sementara itu, pada akhir Jun 2026, obligasi PFI berkurang kepada RM38.5 bilion atau 1.7 peratus daripada KDNK, berbanding RM41.4 bilion pada akhir tahun 2025.
Setelah mengambil kira obligasi pajakan kewangan di bawah PPP, liabiliti lain berjumlah RM136.2 bilion, atau 6.2 peratus daripada KDNK, pada akhir Jun 2026.
Menurut MoF, pendedahan risiko fiskal Malaysia kekal terurus dan terkawal disokong oleh rangka kerja pengurusan risiko komprehensif yang terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti, memantau dan melaksanakan langkah mitigasi terhadap kejutan kewangan awam.
Penggubalan Akta Perolehan Kerajaan 2026 [Akta 882] akan memperkemas tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam rantaian aktiviti perolehan, katanya.
Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memperkasa penginstitusian pengurusan risiko fiskal khususnya melalui penerbitan Penyata Risiko Fiskal (FRS) bagi menyediakan penilaian yang komprehensif dan teluske atas pendedahan risiko fiskal kerajaan serta kemungkinan implikasi terhadap kewangan awam, menurut MoF.
-- BERNAMA