Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Susulan Sentimen Positif Serantau
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, sejajar dengan peningkatan dalam kebanyakan pasaran utama Asia susulan kenaikan saham teknologi di Wall Street dalam tempoh semalaman, walaupun hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang tinggi terus mengehadkan minat terhadap risiko.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.60 mata kepada 1,633.35 berbanding 1,631.75 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka 4.63 mata lebih tinggi kepada 1,636.38, bergerak antara 1,632.77 dan 1,641.20 sepanjang sesi dagangan.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 667 berbanding 456 manakala 551 kaunter tidak berubah, 1,108 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan susut kepada 4.18 bilion unit bernilai RM2.95 bilion berbanding 4.78 bilion unit bernilai RM2.89 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata hasil bon Perbendaharaan AS dalam tempoh 10 tahun mencecah 5.349 peratus, paras tertinggi sejak 2002 manakala hasil bon 30 tahun meningkat seketika kepada 5.703 peratus.
Semasa ditutup pada Isnin, S&P 500 meningkat 0.66 peratus kepada 7,773.95 mata manakala Indeks Komposit Nasdaq naik 1.05 peratus kepada 27,477.31 mata.
“Dari sudut positif, harga minyak mentah Brent menyusut di bawah US$100 setong apabila eksport Asia Barat yang kekal kukuh serta pelepasan stok simpanan kecemasan oleh negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) membantu mengurangkan kebimbangan terhadap bekalan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya di dalam negara, minat belian dapat dilihat dalam saham telekomunikasi dan berkaitan komoditi manakala aktiviti dagangan turut meluas kepada beberapa kaunter teknologi bermodal kecil, tenaga dan perladangan.
“Kami yakin bahawa saham mewah terpilih boleh terus menarik aktiviti pembelian saham ketika harga rendah susulan pembetulan yang ketara minggu lepas.
Bagaimanapun, ketiadaan pembelian susulan sepanjang tiga sesi dagangan lepas menunjukkan pelabur terus berwaspada, dengan jualan berterusan oleh pelabur asing dan hasil bon yang tinggi dijangka mengehadkan kadar pemulihan,” katanya.
Sementara itu, Thong berkata penurunan harga minyak mentah dan harapan mengenai Belanjawan 2027 dijangka memberikan sedikit sokongan kepada sentimen.
“Belanjawan akan dibentangkan pada Jumaat, dengan sektor strategik termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan, pendigitalan, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa antara bidang yang diberi tumpuan oleh kerajaan,” katanya.
Bagi tempoh yang masih berbaki minggu ini, beliau menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu kekal dalam fasa konsolidasi dengan kecenderungan untuk pulih secara sederhana apabila situasi terlebih jual memberikan sedikit sokongan kepada pasaran daripada penurunan selanjutnya.
“Bagaimanapun, pemulihan yang lebih kukuh mungkin memerlukan pemangkin baharu, dengan Belanjawan 2027, aliran dana asing, hasil bon dan perkembangan geopolitik kekal sebagai faktor utama untuk diberikan perhatian.
“Kami mengekalkan julat dagangan FBM KLCI pada 1,620 hingga 1,650 mata bagi minggu ini,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat 15 sen kepada RM7.91 manakala Maybank dan CIMB masing-masing susut tiga sen kepada RM9.97 dan RM7.70. Public Bank turun empat sen kepada RM4.67 manakala Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM12.90.
Bagi saham aktif, Zetrix AI dan Supermax masing-masing meningkat 2.5 sen kepada sembilan sen dan 46 sen, Top Glove menokok sembilan sen kepada 87.5 sen, V.S Industry naik satu sen kepada 33 sen manakala SLGC yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut tiga sen kepada 25 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat RM1.56 kepada RM44.96, Nestle naik RM1.26 kepada RM91.26, Pentamaster melonjak 64 sen kepada RM6.08, Mi Technovation menokok 59 sen kepada RM6.00 manakala Kuala Lumpur Kepong naik 46 sen kepada RM21.32.
Kaunter paling rugi diterajui Dutch Lady Milk Industries yang susut 30 sen kepada RM29.70, Allianz turun 18 sen kepada RM20.62, TIME dotCom susut 16 sen kepada RM5.45 manakala Mega First Corporation dan Ayer Holdings masing-masing rendah 15 sen kepada RM2.85 dan RM7.55.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 melonjak 190.62 mata kepada 17,734.11, Indeks FBM Emas meningkat 42.52 mata kepada 12,232.87, Indeks FBM Top 100 naik 42.40 mata kepada 12,015.78, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 89.97 mata kepada 12,158.98 manakala Indeks FBM ACE melonjak 52.31 mata kepada 5,658.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.44 mata kepada 180.41 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 72.14 mata kepada 19,068.0. Indeks Tenaga pula meningkat 10.78 mata kepada 840.72 manakala Indeks Perladangan melonjak 111.14 mata kepada 9,042.17.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.59 bilion unit bernilai RM2.50 bilion daripada 3.13 bilion unit bernilai RM2.41 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran turun kepada 932.44 juta unit bernilai RM171.80 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM208.20 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 653.91 juta unit bernilai RM276.54 juta daripada 611.02 juta unit bernilai RM267.66 juta sebelum ini.
Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 204.53 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (298.70 juta), pembinaan (102.12 juta), teknologi (1.32 bilion), perkhidmatan kewangan (58.39 juta), hartanah (113.14 juta), perladangan (17.37 juta), amanah pelaburan hartanah (12.12 juta), dana tertutup (45,000), tenaga (69.91 juta), penjagaan kesihatan (294.68 juta), telekomunikasi dan media (25.52 juta), pengangkutan dan logistik (38.51 juta), utiliti (36.68 juta), dan amanah perniagaan (59,700).
-- BERNAMA