BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 | 

MITI Mahu Syarikat Multinasional Perkukuh Penyetempatan Industri Peranti Perubatan

GEORGE TOWN, 6 Okt (Bernama) --  Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mahu syarikat multinasional (MNC) dalam industri peranti perubatan Malaysia mempergiat usaha penyetempatan dengan memindahkan teknologi, kepakaran dan keupayaan mereka kepada syarikat tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata MNC tidak seharusnya hanya menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan semata-mata dengan memanfaatkan tenaga kerja dan kemudahan sedia ada, malah perlu turut membantu syarikat tempatan meningkatkan rantaian nilai menerusi perkongsian yang lebih kukuh serta pembangunan keupayaan.

"Kita mahu syarikat multinasional (MNC) datang ke sini untuk menjalankan aktiviti pembuatan dan memanfaatkan tenaga kerja serta kemudahan kita, di samping membawa, meningkatkan dan memperkasakan keupayaan, kepakaran serta teknologi syarikat tempatan," katanya.

Ad Banner

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia 2026 anjuran Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI), di sini, hari ini.

Sim berkata Malaysia telahpun menjadi satu daripada enam hab pembuatan peranti perubatan utama dunia, sebaris dengan pasaran besar seperti Amerika Syarikat, China, Ireland, Costa Rica dan Puerto Rico.

Katanya, kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab utama pembuatan peranti perubatan di luar China mencerminkan kekuatan ekosistemnya yang berjaya menarik banyak syarikat multinasional untuk menubuhkan operasi pembuatan mereka di negara ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Ramai antara kita tidak menyedari bahawa Malaysia merupakan hab peranti perubatan bertaraf global. Di Asia, selain China, kedudukan kita amat besar, dengan nilai eksport peranti perubatan Malaysia mencecah RM34.5 bilion pada 2025 dan menyasarkan angka RM50 bilion menjelang 2030.

“Sasaran ini boleh dicapai melalui usaha penyetempatan yang lebih kukuh serta penglibatan lebih meluas syarikat Malaysia dalam rantaian nilai teknologi perubatan," katanya.

Beliau berkata kehadiran kukuh MNC di negara ini, ditambah dengan penyertaan syarikat tempatan yang semakin meningkat, menyediakan asas kukuh bagi Malaysia untuk memperkukuh lagi industri peranti perubatannya.

Beliau berkata semakin banyak syarikat tempatan kini tampil untuk menceburi sektor peranti perubatan, sekali gus mewujudkan peluang jalinan yang lebih kukuh antara MNC dengan pemain industri tempatan.

Katanya, MITI mahu lebih banyak MNC mempergiat usaha penyetempatan supaya syarikat Malaysia dapat meraih manfaat lebih besar daripada kehadiran pengeluar global di negara ini.

Perkongsian lebih kukuh antara MNC dan syarikat tempatan akan membolehkan syarikat domestik membangunkan keupayaan, kepakaran dan teknologi mereka dan bukannya sekadar kekal sebagai pembekal dalam ekosistem pembuatan.

Sim turut menggalakkan lebih ramai jurutera, inovator, pakar penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta syarikat pemula Malaysia untuk menceburi bidang teknologi perubatan, sambil menyatakan bahawa sektor tersebut menawarkan banyak peluang pertumbuhan jangka panjang.

“Kita mempunyai keupayaan yang baik, serta jurutera, inovator dan pakar R&D yang berkebolehan; kita mahu mereka tampil dan memulakan langkah dalam bidang ini, bermula dengan membekalkan produk atau perkhidmatan kepada MNC dan seterusnya melakukan inovasi serta membangunkan syarikat mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata Malaysia kini mempunyai lebih daripada 300 syarikat yang terlibat dalam industri peranti perubatan, sekali gus memperkukuh ekosistem teknologi perubatan negara.

Industri itu dijangka terus berkembang seiring dengan peningkatan usia penduduk Malaysia dan dunia, peningkatan jangka hayat, serta keperluan penjagaan kesihatan yang semakin kompleks, katanya.

Beliau menyifatkan peranti perubatan sebagai sektor yang berdaya tahan dalam mendepani kitaran ekonomi, memandangkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan akan terus wujud tidak kira sama ada ekonomi sedang berkembang pesat atau mengalami kelembapan.

-- BERNAMA