Tahap Kesejahteraan Kewangan Rakan Penghantar Naik 34.4 Peratus Menerusi Program GoGiggers
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Tahap kesejahteraan kewangan peserta program celik kewangan GoGiggers mencatat peningkatan 34.4 peratus, dengan 74 peratus daripada mereka mula membuat simpanan kecemasan ketika pelaksanaan awal program itu di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani berkata terdapat peserta yang turut berjaya mengumpul lebih RM68,000 dalam bentuk simpanan dan RM40,000 dalam pelaburan sepanjang program berkenaan.
“Susulan kejayaan itu, program berkenaan diperluas ke Sabah dan Sarawak, dengan peserta di kedua-dua negeri itu turut melaporkan peningkatan dalam daya tahan kewangan dan amalan menabung.
“Ini menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila kita memahami keadaan sesuatu kumpulan dan mereka bentuk mekanisme sokongan yang membantu peserta menterjemahkan pengetahuan kepada tindakan,” katanya pada pelancaran Bulan Celik Kewangan 2026 bersempena Simposium Celik Kewangan Kebangsaan 2026.
Program Celik Kewangan GoGiggers dilaksanakan menerusi kerjasama anggota dan rakan kongsi Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Adnan berkata program itu dirangka berdasarkan profil, keadaan serta keperluan tingkah laku peserta, dengan mengambil kira pekerja gig yang mungkin mempunyai pendapatan tidak tetap dan motivasi kewangan yang berbeza.
Program berkenaan menggabungkan panduan kewangan praktikal dengan sokongan berterusan yang boleh diaplikasikan peserta mengikut keadaan kewangan masing-masing.
Sementara itu, beliau berkata Bulan Celik Kewangan 2026 yang bertemakan “Money Smart When It Matters Most” merupakan peluang untuk membantu rakyat Malaysia mengambil langkah yang praktikal dan mampu dilaksanakan ke arah kesejahteraan kewangan yang lebih kukuh.
“Kesediaan dari segi kewangan bukan bermaksud membuat keputusan yang sempurna. Sebaliknya, ia adalah mengenai persediaan yang lebih baik untuk menghadapi peluang dan cabaran hidup berdasarkan keadaan serta aspirasi masing-masing,” katanya.
Jelajah itu bermula pada 21 September di Perak dan akan berakhir pada 21 Oktober di Johor, dengan program serentak turut diadakan dari Sandakan hingga Kota Kinabalu di Sabah serta dari Kuching hingga Samarahan di Sarawak.
Pelancaran rasmi dan pelepasan jelajah itu berlangsung di Sasana Kijang hari ini sebelum diteruskan ke seluruh negara.
-- BERNAMA