BERITA TERKINI   Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dipersetujui bersama Myanmar untuk dihantar pulang pada fasa kedua - Fahmi | Beberapa pemimpin negara dijangka adakan lawatan ke Malaysia minggu depan - Fahmi | Jemaah Menteri rakam ucapan takziah buat Tun Dr Mahathir atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah - Fahmi | Nepal setuju bantu percepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan akibat bencana - Fahmi | LTdL 2026: Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team Petr Rikunov menang peringkat keempat dari Meru Raya ke Cameron Highlands | 

Belanjawan 2027 Diharap Ketengah Dasar Automotif, Kerangka Pembaharuan Kenderaan - Proton

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) berharap Belanjawan 2027 akan mengetengahkan dasar automotif jangka panjang yang melibatkan keterangkuman teknologi bagi menyokong peralihan industri ke arah kenderaan elektrifikasi (xEV).

Pengeluar kereta nasional itu juga berharap kerajaan mewujudkan rangka kerja pembaharuan dan kitar semula kenderaan yang komprehensif di peringkat nasional bagi menangani isu kenderaan berusia di jalan raya Malaysia.

Ad Banner

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata dasar berkenaan perlu melibatkan insentif yang menyokong aktiviti huluan dalam sektor automotif selain melonjakkan ekosistem vendor, menarik pembekal dan teknologi ke Malaysia selain menggalakkan usaha penyumberan tempatan.

Dasar itu juga, katanya, perlu mengiktiraf peralihan Malaysia kepada xEV akan turut memberi kesan ke atas semua bidang dalam sektor berkenaan, sekali gus memerlukan pendekatan terurus dan mengimbangi keinginan penggiat industri selain usaha persiapan negara secara berperingkat bagi kenderaan seumpamanya.

Beliau berkata sokongan kerajaan juga diperlukan bagi menggalakkan pertumbuhan aktiviti huluan dan memperkukuh ekosistem vendor untuk mencapai aspirasi negara dalam meningkatkan tahap penggunaan komponen tempatan.

Ad Banner
Ad Banner

“Menerusi langkah membawa lebih banyak teknologi dan pembekal ke Malaysia serta menggalakkan penggunaan sumber tempatan, industri dapat mengurangkan kos pembangunan serta komponen dan menjadikan peralihan elektrifikasi lebih mampu milik bagi rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Menyentuh usaha pembaharuan kenderaan, Abdul Rashid berkata Malaysia memerlukan rangka kerja yang teratur dengan tempoh jangka panjang bagi menangani isu kenderaan yang berusia dan tidak selamat.

Beliau berkata insentif geran padanan bagi menggalakkan penggantian kenderaan berusia 20 tahun dan ke atas yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2026, juga menerima sambutan yang amat menggalakkan.

“Pasaran memberi sokongan terhadap skim-skim ini sepertimana dibuktikan menerusi sambutan menggalakkan terhadap insentif geran padanan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026,” katanya.

Abdul Rashid berkata peruntukan RM10 juta bagi insentif itu juga telah habis dimanfaatkan dalam tempoh tiga bulan, sekali gus membantu mengeluarkan kenderaan lama daripada jalan raya negara.

“Langkah memperluaskan program ini akan dapat membantu mengurangkan bil subsidi bahan api kerajaan selain menyediakan kenderaan lebih selamat dengan teknologi tinggi serta bahan api cekap yang lebih memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata langkah berkenaan bukannya bertujuan memaksa rakyat menggantikan kenderaan atau menyebabkan beban kewangan tambahan ke atas isi rumah, sebaliknya memberi pilihan yang lebih berpatutan serta praktikal untuk pemilik melepaskan kenderaan berusia yang tidak lagi selamat, cekap serta berbaloi untuk dipertahankan.

Mengulas aspek bakat serta keupayaan, Abdul Rashid berkata Proton juga berharap agar Belanjawan 2027 itu dapat mempercepat pembangunan teknologi, tenaga kerja serta pembekal tempatan.

Proton juga, katanya, menyokong program nasional yang lebih kukuh bagi membantu Malaysia beralih daripada pemasangan kenderaan kepada usaha mereka bentuk, kejuruteraan dan membangunkan teknologi automotif.

“Sokongan ini boleh disalurkan kepada keupayaan bersama yang memberi manfaat kepada keseluruhan industri, termasuk penyelidikan automotif, pembangunan perisian, kecerdasan buatan, teknologi bateri, elektronik termaju, kemudahan pengujian dan penghomologan kenderaan,” katanya.

Penghomologan kenderaan itu merujuk kepada proses memastikan kenderaan mematuhi piawaian kawal selia sebelum dijual atau digunakan.

Selain itu, Abdul Rashid menggesa jalinan kerjasama lebih erat antara pengeluar kenderaan, vendor tempatan, universiti dan institusi teknikal dalam usaha meningkatkan tahap kecekapan serta mewujudkan kumpulan pekerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri.

-- BERNAMA