Bursa Malaysia Teruskan Kenaikan, Dipacu Sektor Utiliti
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia meneruskan kenaikan pada tengah hari berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah ke atas saham wajaran tinggi terpilih, dipacu oleh saham utiliti, walaupun keluasan pasaran terus kekal negatif.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.18 mata kepada 1,654.14 daripada paras 1,643.96 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.53 mata lebih tinggi pada 1,646.49, bergerak dalam julat antara 1,645.03 dan 1,656.87 sepanjang sesi.
Saham utiliti menerajui kenaikan itu dengan Tenaga Nasional melonjak 32 sen kepada RM13.04, Petronas Gas meningkat 20 sen kepada RM17.38, dan YTL Corporation naik satu sen kepada RM2.30.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 603 berbanding 350, manakala 521 kaunter tidak berubah, 1,381 tidak diniagakan dan 95 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.92 bilion unit bernilai RM1.49 bilion.
Apex Securities Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini memaklumkan bahawa sektor tenaga, satu daripada hanya dua sektor yang mencatatkan kenaikan, mungkin kehilangan sebahagian daripada keuntungan tersebut susulan penyusutan harga minyak mentah Brent semalaman di sebalik rundingan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 0.48 peratus kepada US$103.08 setong.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lima sen kepada RM10.04, Public Bank susut dua sen kepada RM4.70, CIMB menambah satu sen kepada RM7.79 dan IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM7.90.
Bagi saham aktif, Zetrix AI tidak berubah pada 16.5 sen, V.S Industry melonjak 1.5 sen kepada 25 sen, Gamuda naik 20 sen kepada RM5.18, manakala Jaks Resources dan Tanco meningkat setengah sen masing-masing kepada 19.5 sen dan 16.5 sen.
Antara saham paling untung, Nestle naik RM1.20 kepada RM90.12, United Plantations menambah 28 sen kepada RM31.60, UMS Integration menokok 20 sen kepada RM8.81, Ayer melonjak 18 sen kepada RM7.78 dan Allianz Malaysia melonjak 14 sen kepada RM21.
Hengyuan Refining mendahului saham paling rugi, susut 57 sen kepada RM3.77.
Dagangan bagi kaunter tersebut digantung hingga akhir sesi dagangan selepas harga terakhirnya melepasi had yang ditetapkan.
Malaysian Pacific Industries merosot 44 sen kepada RM40.36, manakala Eurospan berkurangan 25 sen kepada RM2.99, Kuala Lumpur Kepong menguncup 22 sen kepada RM22.28 dan MI Technovation turun 17 sen kepada RM5.22.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 48.14 mata kepada 17,561.95, Indeks FBM Emas naik 40.32 mata kepada 12,305.79, Indeks FBM Top 100 melonjak 46.83 mata kepada 12,098.37, Indeks FBM Emas Syariah naik 69.56 mata kepada 12,197.17, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 33.86 mata kepada 5,494.72.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.32 mata kepada 181.18, Indeks Tenaga turun 18.32 mata kepada 850.38, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 10.75 mata kepada 19,271.60 dan Indeks Perladangan menambah 16.55 mata kepada 9,232.89..
-- BERNAMA