BERITA TERKINI   Beberapa pemimpin negara dijangka adakan lawatan ke Malaysia minggu depan - Fahmi | Jemaah Menteri rakam ucapan takziah buat Tun Dr Mahathir atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah - Fahmi | Nepal setuju bantu percepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan akibat bencana - Fahmi | LTdL 2026: Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team Petr Rikunov menang peringkat keempat dari Meru Raya ke Cameron Highlands | PM Anwar mahu peserta MADANI Fellowship kuasai ilmu, fahami isu secara menyeluruh dan manfaatkan peluang sepanjang program | 

JAC Motors Akan Memasang Trak Pikap T9 PHEV, BEV Secara Tempatan

KUALA LUMPUR, 30 Sept  (Bernama) -- JAC Motors, melalui pengedar trak tempatan iaitu Evolvelectric Motors Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan anak syarikat milik penuh Feytech Holdings Bhd, FT Assembly Sdn Bhd, untuk memasang secara tempatan trak pikap JAC T9 Diesel, kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) petrol dan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat automotif itu memaklumkan perjanjian berkenaan menandakan satu pencapaian penting untuk JAC di Malaysia, dengan T9 PHEV dan BEV bakal menjadi trak pikap 'pertama' yang dipasang secara tempatan di negara ini.

Menurutnya, langkah itu memperluas keupayaan pemasangan kenderaan tempatan Malaysia ke dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) komersial ringan, di samping menyokong penyertaan yang lebih besar dalam ekosistem pembuatan dan rantaian bekalan automotif negara.

Ad Banner

“Di bawah program pemasangan tempatan (CKD) berperingkat, T9 PHEV petrol akan mendahului program itu, diikuti oleh model T9 Diesel dan BEV yang akan dipasang di kemudahan pembuatan milik Feytech di Kulim, Kedah.

"Pengeluaran dijangka bermula pada November 2026, dengan kapasiti pengeluaran tahunan dianggarkan sebanyak 3,000 unit pada tahun pertama, manakala model BEV disasarkan untuk bermula pada Januari 2027," tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors Lau Yit Mun berkata program CKD itu merupakan langkah penting dalam pembangunan jangka panjang JAC di Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

“Ketika pengeluar dari Jepun dan Amerika Syarikat memilih untuk mengeluarkan trak pikap mereka di Thailand, JAC Pickup bersama Evolvelectric Motors pula membina asas yang lebih kukuh di Malaysia dengan mengeluarkan trak pikapnya secara tempatan.

“Model T9 PHEV petrol akan menerajui program CKD berperingkat kami, diikuti oleh model diesel dan BEV. JAC juga sedang meneroka peluang untuk mengeksport trak pikap dari Malaysia, tertakluk kepada keadaan yang menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Feytech Connie Go berkata perjanjian itu memperluas keupayaan syarikat ke dalam pemasangan kenderaan komersial ringan, mewujudkan proses pemasangan yang berdisiplin bagi memperkukuh keupayaan pembuatan dan meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai automotif.

"Kami melihat perjanjian ini sebagai platform penting untuk Feytech membangunkan peluang yang seterusnya dalam pemasangan kenderaan, modul automotif dan aktiviti pembuatan lain pada masa hadapan," tambahnya.

-- BERNAMA