BERITA TERKINI   Gerakan penyatuan ummah perlu terus diusahakan agar perbezaan parti tak halang capai kesepakatan - TPM Ahmad Zahid | Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah pada 5.35 pagi tadi - MetMalaysia | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat Kecil Minggu Depan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar AS minggu depan berikutan pelabur menunggu data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan petunjuk selanjutnya mengenai hala tuju kadar faedah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan akan terarah kepada pasaran buruh AS pada minggu depan terutama mengenai laporan senarai gaji bukan ladang yang akan dikeluarkan pada 2 Oktober.

Ad Banner

“Kami menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat sekitar RM4.07 hingga RM4.10 berbanding dolar AS minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata turut menjadi tumpuan adalah laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS yang dijadual dikeluarkan pada 30 September, dengan anggaran konsensus menunjukkan kadar inflasi sebanyak 3.7 peratus pada September, tidak berubah berbanding Ogos.

Beliau berkata, di dalam negara, perhatian semakin beralih kepada Belanjawan 2027, yang dijadual dibentangkan pada 9 Oktober.

Ad Banner
Ad Banner

“Perkembangan politik tempatan juga boleh mempengaruhi penilaian pelabur asing terhadap pasaran Malaysia, dengan Pilihan Raya Negeri Melaka adalah antara perkembangan yang sedang dipantau,” katanya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0715/0765 daripada 4.0795/0840 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama sepanjang minggu itu.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3907/3973 daripada 5.4543/4603 pada Jumaat sebelumnya, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5764/5797 daripada 2.5829/5860 serta naik berbanding euro kepada 4.6378/6435 daripada 4.6849/6901.

Ringgit juga kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1858/1900 daripada 3.1933/1971 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2036/2234 daripada 12.2383/2562, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 227.4/227.8 daripada 229.7/230.0.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 6.52/6.53 daripada 6.50/6.51 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA