Niaga Hadapan Emas Dijangka Didagangkan Antara US$4,200 Hingga US$4,400 Minggu Hadapan
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif mungkin didagangkan antara US$4,200 hingga US$4,400 setiap auns troy minggu hadapan, dengan harga minyak, hasil bon dan dolar US dijangka mempengaruhi arah pasaran.
Pakar strategi global Intel Quintex, Stephen Innes berkata harga minyak akan menjadi ketidaktentuan utama minggu depan, manakala hasil bon yang tinggi dan prospek kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) yang agresif kekal sebagai faktor penting bagi emas.
Permintaan bank pusat terus memberikan sokongan jangka panjang yang kukuh untuk logam berharga itu tetapi ia tidak dapat melindungi sepenuhnya emas daripada dasar agresif Fed dalam tempoh terdekat.
“Atlanta Fed GDPNow menunjuk kepada pertumbuhan melebihi 5.0 peratus (untuk suku ketiga 2026) mengukuhkan keadaan bahawa ekonomi AS boleh menyerap pelbagai kenaikan kadar, manakala kekuatan dolar akan menambah satu lagi tekanan,” katanya kepada Bernama.
Dari minggu ke minggu, kontrak September 2026 berkurangan kepada US$4,292.40 setiap auns troy pada hari Jumaat daripada US$4,393.20 sebelum ini, Oktober 2026 jatuh kepada US$4,308.30 setiap auns troy daripada US$4,411.20 dan November 2026 turun kepada US$4,325 setiap auns troy daripada US$4,428.50.
Sementara itu, Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 semuanya susut kepada US$4,333.00 setiap auns troy daripada US$4,436.30.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 1,256 lot berbanding 1,152 lot yang disaksikan semasa minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 222 kontrak daripada 307 kontrak.
Berdasarkan penetapan tengah hari pada 24 Sept di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,266.40 setiap auns troy.
-- BERNAMA