BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah pada 5.35 pagi tadi - MetMalaysia | 

PPIBZW Seragam Pelaporan Kewangan 14 Majlis Agama Islam Negeri – Akauntan Negara

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dibangunkan bagi menyeragamkan pelaporan kewangan 14 Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), termasuk pengiktirafan transaksi zakat dan wakaf, kata Akauntan Negara Nasran Omar.

Beliau berkata sebelum ini terdapat perbezaan dalam penyediaan dan pembentangan penyata kewangan antara negeri yang menyukarkan analisis serta perbandingan, berikutan hal ehwal pentadbiran Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Ad Banner

“Contohnya, zakat. Ada negeri yang mengiktiraf kutipan zakat sebagai hasil, manakala ada negeri yang mengiktirafnya sebagai liabiliti. Begitu juga wakaf. Ada negeri yang mengiktiraf penerimaan wakaf sebagai hasil, manakala ada negeri yang mengiktirafnya sebagai ekuiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi terbitan Bernama TV, malam tadi.

Nasran berkata sebelum PPIBZW dibangunkan, MAIN menggunakan piawaian perakaunan konvensional dan mempunyai tafsiran berbeza berhubung pengiktirafan transaksi berasaskan syariah.

Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, pembangunan piawaian berkenaan turut mengambil kira fatwa negeri sebelum menetapkan pengolahan perakaunan yang akan digunakan.

“Melalui PPIBZW, kita menetapkan satu standard pengiktirafan yang seragam di semua MAIN, seperti penyeragaman format laporan.

“Secara tidak langsung, ia mengharmonikan perbezaan pelaporan antara negeri-negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata PPIBZW turut membolehkan maklumat mengenai jumlah kutipan dan agihan zakat, termasuk zakat yang belum diagihkan, dibentangkan dengan lebih jelas kepada pembayar zakat dan masyarakat.

“Apabila masyarakat melihat perkara tersebut, mereka dapat mengetahui bahawa sumbangan mereka telah diagihkan dengan cara yang baik, seterusnya akan memotivasikan mereka untuk menyumbang lebih lagi,” katanya.

Nasran berkata Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah melatih 80 peserta daripada MAIN serta institusi zakat dan baitulmal bagi membantu mereka memahami penyediaan penyata kewangan berasaskan PPIBZW.

Beliau berkata JANM turut memasukkan kursus PPIBZW dalam kalendar latihan tahunannya sejak 2023 sebagai sebahagian daripada persediaan pelaksanaan piawaian itu.

“Sebanyak lima buku panduan utama PPIBZW akan dilancarkan pada 1 Okt 2026 sempena Majlis Peluncuran dan Persidangan Perdana PPIBZW di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Buku panduan itu meliputi kerangka kerja konseptual, pembentangan penyata kewangan, aset, hasil, belanja dan liabiliti, serta pendedahan maklumat lain,” katanya.

Nasran berkata JANM berhasrat menjadikan Malaysia sebagai rujukan antarabangsa bagi penggunaan piawaian itu oleh institusi baitulmal, zakat dan wakaf di negara-negara Islam.

-- BERNAMA