Bursa Malaysia Dibuka Tinggi
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah yang berterusan berikutan penurunan baru-baru ini walaupun hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak meningkat.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran meningkat 1.90 mata atau 0.11 peratus kepada 1,674.21 daripada 1,672.31 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka tinggi 2.56 mata kepada 1,674.87.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 192 berbanding 128 manakala 342 kaunter tidak berubah, 2,261 tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 294.55 juta saham bernilai RM72.92 juta.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikan hari ini, pelabur dijangka kekal berhati-hati mendorong indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran kecil berikutan harga minyak yang tinggi, hasil bon yang meningkat dan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung kepada kadar faedah tinggi mengehadkan minat terhadap ekuiti.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 0.79 peratus kepada US$105.76 setong.
Pada peringkat domestik, HLIB memaklumkan potensi pelaburan dari China bernilai RM28 bilion dan cadangan lanjutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan yang diumumkan semalam, berpotensi memberikan sokongan dan mengukuhkan prospek pelaburan serta kesalinghubungan serantau Malaysia dalam tempoh jangka panjang.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu memaklumkan impak dalam tempoh terdekat mungkin kekal terhad sementara menunggu pelaksanaannya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.16, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM4.82 dan RM8.06, CIMB menurun tiga sen kepada RM7.93 dan Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM13.14.
Dalam dagangan aktif, Aimax, Iconic Worldwide dan Zetrix AI, masing-masing meningkat setengah sen kepada 1.5 sen, 9.5 sen dan 19.5 sen manakala TWL dan GIIB, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 59.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Hong Leong Financial dan Petronas Dagangan yang meningkat 10 sen kepada RM18.96 dan RM20.10, Northern Solar menambah sembilan sen kepada RM1.27, Press Metal Aluminium dan Fraser & Neave, masing-masing menokok lapan sen kepada RM7.54 dan RM23.08.
Kaunter paling rugi termasuklah Nestle menurun 80 sen kepada RM90.66. Malaysian Pacific Industries berkurangan 28 sen kepada RM43.22, Dutch Lady Milk Industries merosot 26 sen kepada RM30.10 serta Apollo Food dan Allianz Malaysia, masing-masing menyusut lapan sen kepada RM5.72 dan RM21.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 39.53 mata kepada 17,794.35, Indeks FBM Emas naik 18.16 mata kepada 12,459.43, Indeks FBM Top 100 menambah 17.32 mata kepada 12,248.57, Indeks FBM Emas Shariah menokok 18.24 mata kepada 12,309.96 dan Indeks FBM ACE naik 17.77 mata kepada 5,455.10.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.27 mata kepada 184.61 dan Indeks Tenaga naik 3.11 mata kepada 863.54.
Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 18.81 mata kepada 19,573.68 dan Indeks Perladangan naik 18.56 mata kepada 9,409.84.
-- BERNAMA