ACC Perluas Latihan PKS Di ASEAN Untuk Pertingkat Akses Pasaran China
Daripada Siti Fauziah Bt Hasan
BEIJING, 25 Sept (Bernama) -- Pusat ASEAN-China (ACC) sedang memperluaskan program latihannya di ASEAN untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki pasaran China, dengan tumpuan khusus kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA), prosedur kastam dan e-dagang rentas sempadan.
Timbalan Pengarah Bahagian Perdagangan dan Pelaburan ACC, Pichayapat Benjasiriroj berkata inisiatif itu penting memandangkan PKS merupakan tulang belakang ekonomi ASEAN, namun banyak yang masih berdepan cabaran seperti akses terhad kepada maklumat serta kurangnya pemahaman mengenai peraturan dan undang-undang berkaitan perdagangan.
“Oleh itu, kami mengambil kira perkara ini dan telah berusaha menyokong pembangunan PKS, khususnya di pihak ASEAN. Ini kerana kami semua menyedari bahawa terdapat ketidakseimbangan dalam perdagangan antara ASEAN dan China.
“Justeru, kami mewujudkan program ini bagi menyokong PKS ASEAN,” katanya semasa sesi lawatan dan pertukaran pandangan ACC bersama media antarabangsa di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung ACC, Zhang Lizhong.
Pichayapat berkata ACC memulakan program latihan PKS tahun lepas dengan menjemput PKS menerusi persatuan perniagaan dan rakan kongsi untuk menyertai program selama dua hari di Beijing.
Program berkenaan menumpukan kepada prosedur kastam, cara memanfaatkan FTA, urusan dengan pihak berkuasa kastam, e-dagang rentas sempadan serta kaedah lain bagi membantu PKS membina kapasiti dan meningkatkan pemasaran.
“Tahun ini, buat pertama kalinya, kami turun padang ke negara anggota ASEAN. Kami pergi ke Thailand dan Laos untuk menganjurkan program latihan di negara-negara tersebut, sekali gus menjadikan program itu lebih mudah diakses oleh PKS tempatan," katanya.
Program-program itu turut menghubungkan PKS dengan perusahaan tempatan yang berpengalaman menjalankan perniagaan dengan China, manakala pegawai daripada kementerian perdagangan negara masing-masing dijemput untuk berkongsi kepakaran dan pandangan mengenai cara memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan lebih baik.
Menurut Pichayapat, ACC akan meneruskan program latihan itu pada tahun depan dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak organisasi di ASEAN bagi menghubungkan pihak terbabit dengan PKS tempatan serta menguruskan keperluan logistik program itu.
Sementara itu, ACC juga sedang memperluaskan kerjasama ASEAN-China dalam sektor berteknologi tinggi dan sektor yang sedang berkembang pesat, termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga baharu dan teknologi pengurangan karbon.
Pichayapat berkata ACC telah menganjurkan pelbagai forum sejak 2024 untuk menghubungkan syarikat China dengan perusahaan serta pihak berkepentingan di ASEAN dalam bidang seperti industri termaju dan tenaga baharu.
Inisiatif tersebut termasuk membawa syarikat dari China ke Malaysia pada 2024 untuk perbincangan mengenai industri termaju, diikuti dengan program tenaga hijau di Bangkok pada tahun lalu.
“Tahun ini, kami membawa kira-kira 50 usahawan China ke Vietnam untuk mengadakan sesi meja bulat bersama perusahaan tempatan, serta sesi meja bulat perniagaan dengan Kementerian Sains dan Teknologi Vietnam," katanya.
Menurutnya, ACC berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama seumpama itu dengan negara anggota ASEAN bagi menggalakkan perdagangan, pelaburan dan kolaborasi dalam sektor berteknologi tinggi yang sedang berkembang.
Selain itu, Zhang berkata ACC komited untuk memperkukuh peranannya sebagai platform bagi menterjemahkan kerjasama ASEAN-China kepada hasil yang praktikal, terutamanya ketika kedua-dua pihak meneroka bidang baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau, AI dan kesalinghubungan rantaian bekalan.
Beliau berkata pusat itu juga berusaha memperluaskan rangkaian agensi kerajaan, persatuan perniagaan, universiti, badan pemikir dan organisasi media di seluruh ASEAN dan China bagi mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama serta pertukaran antara rakyat.
"ACC sentiasa komited untuk bersikap pragmatik dan berorientasikan hasil. Kami berusaha membawa lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan untuk bertemu, menjalin hubungan perniagaan dan menghasilkan impak yang nyata," katanya.
-- BERNAMA