OpenMove AI Lantik Steven Lim Sebagai CEO Kumpulan

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- OpenMove AI Bhd melantik Steven Lim Kee Seng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa pada 1 Okt 2026 sebagai antara langkah penyusunan semula pasukan kepimpinan kanan kumpulan untuk memperluas sumber pendapatan.

Syarikat perisian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan CEO pada masa ini, Gallen Lee Choon Teng akan menggalas peranan sebagai CEO perniagaan dengan tumpuan kepada perniagaan Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) sedia ada kumpulan.

Pengerusi OpenMove AI Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pengalaman luas Lim dalam bidang teknologi, transformasi korporat dan pembangunan perniagaan strategik dijangka memberi sumbangan besar kepada kumpulan untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Ad Banner

“Struktur kepimpinan baharu kami akan membolehkan kami memberi tumpuan yang lebih besar dalam memperkukuh perniagaan sedia ada sebagai penyedia penyelesaian SaaS terkemuka, di samping membolehkan kami meneroka aliran perniagaan baharu merentasi pelbagai industri,” kata beliau.

Menurut kenyataan itu, Lim membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam penyelesaian keselamatan negara, penstrukturan semula korporat, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi, transformasi serta pembangunan perniagaan strategik di rantau ASEAN.

Sebelum ini, Lim pernah berkhidmat sebagai Perunding Perniagaan Serantau Kanan NEC Asia Pacific, CEO kumpulan TIME Engineering Bhd serta Ketua Pegawai Strategi Korporat Multimedia Development Corporation.

Ad Banner
Ad Banner

Kumpulan itu turut mengumumkan peletakan jawatan Nicholas Tan Chin Yau sebagai Ketua Pegawai Operasi berkuat kuasa pada 1 Okt 2026 bagi memenuhi matlamat dan kepentingan peribadi yang lain.

-- BERNAMA