Kenaikan Harga Minyak, Hasil Bon Dorong Bursa Malaysia Ditutup Rendah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Khamis dengan lebih rendah, diasak tekanan jualan sederhana yang berselang-seli dengan aktiviti pembelian ketika lonjakan harga minyak dan hasil bon global menjejaskan sentimen pelabur, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 4.12 mata atau 0.24 peratus kepada 1,672.31 daripada paras penutup 1,676.43, semalam.

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.98 mata kepada 1,674.45 dan bergerak dalam julat 1,671.48 hingga 1,679.47 sepanjang sesi dagangan.

Selain itu, sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 677 berbanding 436, sebanyak 542 kaunter tidak berubah manakala 1,246 kaunter tidak diniagakan dan 27 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 3.20 bilion unit bernilai RM2.99 bilion, semalam.

Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kontrak niaga hadapan minyak mentah Brent bagi November yang berperanan sebagai penanda aras telah melonjak sebanyak 3.3 peratus kepada US$106.50 setong.

Beliau berkata kenaikan harga minyak itu hanya menambah kebimbangan bahawa peningkatan kos tenaga berisiko memburukkan lagi tekanan inflasi dan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi bagi tempoh lama.

“Di peringkat serantau, ekuiti juga diasak oleh tekanan apabila hasil bon kekal tinggi bagi tempoh hampir dua dekad dan menjejaskan lagi penilaian ekuiti,” katanya.

Bagi Bursa Malaysia, Mohd Sedek berkata gabungan harga minyak lebih tinggi, hasil bon yang meningkat dan penjualan berterusan oleh pelabur asing berkemungkinan besar mengekalkan sentimen risiko berhati-hati ketika pelabur mungkin terus menyokong sektor-sektor yang mampu bertahan serta berkaitan dengan komoditi.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent naik 2.45 peratus kepada US$105.54 setong.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM10.12, Public Bank turun satu sen kepada RM4.82, dan Tenaga Nasional rugi lapan sen kepada RM13.06, CIMB menambah tiga sen kepada RM7.96 dan IHH Healthcare naik enam sen kepada RM8.06.

Kaunter paling aktif didahului oleh Zetrix AI yang naik setengah sen kepada 19 sen, Aimax kekal tidak berubah pada satu sen, NexG meraih 5.5 sen kepada 32 sen, V.S Industry susut 1.5 sen kepada 23.5 sen dan Sunway Healthcare turun enam sen kepada RM2.07.

Nestle mendahului kaunter yang mencatat untung tertinggi apabila menokok RM1.96 kepada RM91.46,  Ajinomoto naik 38 sen kepada RM19.64, Pekat untung 24 sen kepada RM2.64, Northern Solar menambah 16 sen kepada RM1.18 dan MISC meraih 15 sen kepada RM7.92.

Kaunter paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries susut RM1.08 kepada RM43.50, Batu Kawan turun 54 sen kepada RM20, MI Technovation menguncup 32 sen kepada RM5.81, Unisem kehilangan 24 sen kepada RM4.50 dan Pentamaster berkurangan 23 sen kepada RM5.18.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 susut 78.99 mata kepada 17,754.81, Indeks FBM Emas merosot 36.08 mata kepada 12,441.27, Indeks FBM Top 100 menguncup 36.35 mata kepada 12,231.25, Indeks FBM Emas Syariah turun 28.50 mata kepada 12,291.72 namun Indeks FBM ACE naik 9.92 mata kepada 5,437.33.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.61 mata kepada 184.34, Indeks Perladangan berkurangan 18.52 mata kepada 9,391.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 22.91 mata kepada 19,554.87 manakala Indeks Tenaga meraih 9.98 mata kepada 860.43.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.09 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 1.95 bilion unit bernilai RM2.67 bilion, semalam.

Perolehan waran pula menguncup kepada 764.97 juta unit bernilai RM115.91 juta daripada 788.71 juta unit bernilai RM114.81 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 463.98 juta unit bernilai RM210.23 juta daripada 461.73 juta unit bernilai RM199.84 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 187.27 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (330.10 juta), pembinaan (111.78 juta), teknologi (851.51 juta), perkhidmatan kewangan (59.18 juta), hartanah (116.08 juta), perladangan (64.81 juta), amanah pelaburan hartanah (22.76 juta), dana tertutup (5,100), tenaga (103.59 juta), penjagaan kesihatan (140.78 juta), telekomunikasi dan media (22.30 juta), pengangkutan dan logistik (38.79 juta), utiliti (45.95 juta), serta amanah perniagaan (39,000).

-- BERNAMA