Bursa Malaysia Dibuka Rendah
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, seiring dengan prestasi Wall Street yang lemah berikutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang meningkat dan kenyataan daripada pegawai kanan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung kepada kadar faedah tinggi.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran menurun 2.59 mata atau 0.15 peratus kepada 1,673.84 daripada 1,676.43 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks dibuka rendah 1.98 mata kepada 1,674.45.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 259 berbanding 134 manakala 269 kaunter tidak berubah, 2,239 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 259.94 juta saham bernilai RM101.64 juta.
Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata kenyataan terkini Gabenor Fed AS Michael Barr mengenai hala tuju kadar faedah pada masa depan mewujudkan ketidaktentuan di Wall Street semalaman yang dijangka mempengaruhi Bursa Malaysia hari ini.
“Sementara itu, pelabur dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang sidang kemuncak AS-China hari ini untuk memantau perkembangan yang berpotensi mengenai perdagangan antara kedua-dua kuasa ekonomi tersebut.
“Pasaran secara keseluruhan dijangka mendatar selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini berikutan pelabur mungkin merealisasikan keuntungan sementara menunggu pemangkin baharu,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya peralihan berterusan pelaburan kepada saham berharga rendah dijangka menawarkan peluang dagangan jangka pendek manakala harga minyak yang tinggi berpotensi mewujudkan semula minat terhadap saham berkaitan minyak dan gas.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.14, Public Bank menurun tiga sen kepada RM4.80, CIMB berkurangan dua sen kepada RM7.91, Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM13.16 dan IHH Healthcare meningkat 14 sen kepada RM8.14.
Bagi kaunter yang diniagakan paling aktif, Zetrix AI menurun 1.5 sen kepada 17 sen, Aimax meningkat setengah sen kepada 1.5 sen dan Computer Forms naik satu sen kepada 10 sen manakala GIIB dan Velesto Energy, masing-masing tidak berubah pada 59 sen dan 23 sen.
Kaunter paling untung ialah Hengyuan Refining meningkat 17 sen kepada RM4.64, Petronas Chemicals dan MNRB, masing-masing naik 12 sen kepada RM4.61 dan RM2.95, Sarawak Oil Palms menambah 10 sen kepada RM5.95 dan Petron menokok lapan sen kepada RM3.80.
Kaunter paling rugi ialah Nestle menurun 46 sen kepada RM89.04, Kuala Lumpur Kepong merosot 20 sen kepada RM22.30, Malaysian Pacific Industries berkurangan 14 sen kepada RM44.44, MI Technovation menyusut 11 sen kepada RM6.02 dan Petronas Dagangan menurun 10 sen kepada RM19.90.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 61.14 mata kepada 17,772.66, Indeks FBM Emas menurun 23.92 mata kepada 12,453.43, Indeks FBM Top 100 berkurangan 24.86 mata kepada 12,242.73, Indeks FBM Emas Shariah merosot 13.02 mata kepada 12,307.20 dan Indeks FBM ACE menyusut 27.60 mata kepada 5,399.81.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.23 mata kepada 185.18 manakala Indeks Tenaga menurun 0.49 mata kepada 849.96.
Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 45.13 mata kepada 19,532.64 dan Indeks Perladangan merosot 7.77 mata kepada 9,402.03.
-- BERNAMA