IPO GB Bond Catat Lebihan Langganan 8.22 Kali Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE Pada 1 Okt
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Bahagian awam Malaysia dalam tawaran awam permulaan (IPO) GB Bond Holdings Bhd mencatatkan lebihan langganan sebanyak 8.22 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Okt 2026.
Pengeluar pelekat industri berasaskan air, polimer emulsi dan bahan pengedap itu menerima 5,333 permohonan untuk 190.02 juta saham berbanding 20.61 juta saham yang ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia.
Bahagian awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 5.54 kali selepas menerima 2,241 permohonan untuk 67.44 juta saham manakala bahagian awam Malaysia yang lain terlebih langgan sebanyak 10.89 kali dengan 3,092 permohonan untuk 122.58 juta saham.
Pengarah Urusannya, Datuk Gooi Ching Koay berkata syarikat berbesar hati dengan sambutan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pelabur atas minat mereka terhadap GB Bond.
“Respons tersebut mencerminkan pengiktirafan pelabur terhadap rekod prestasi operasi, keupayaan pembuatan dan pelan pertumbuhan kami.
“Hasil daripada IPO ini akan menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran kami, memperkukuh keupayaan formulasi produk kami dan menyokong pengembangan kami ke Vietnam selain kami terus meningkatkan asas pelanggan kami di Malaysia dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
IPO GB Bond terdiri daripada terbitan awam sebanyak 64.30 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 42.88 juta saham sedia ada pada harga 25 sen sesaham.
Terbitan awam dijangka meraih hasil kasar kira-kira RM16.08 juta, terutamanya untuk penyewaan kilang baharu dan pembelian jentera, pengembangan ke Vietnam, modal kerja dan peralatan formulasi produk.
Selepas disenaraikan, GB Bond akan mempunyai modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 412.30 juta saham dan permodalan pasaran kira-kira RM103.08 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.
-- BERNAMA