BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Dalam Sentimen Berhati-Hati

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Selasa, dengan diniagakan dalam julat kecil berikutan pelabur terus berwaspada menjelang perkembangan geopolitik utama minggu ini.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0730/0775 berbanding dolar AS daripada 4.0755/4.0800 semasa ditutup pada Isnin.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS berikutan pelabur sedang memantau perkembangan geopolitik.

Perkembangan itu termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan pertemuan yang akan datang antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping minggu ini.

"Susulan kenaikan kadar faedah oleh European Central Bank (ECB), Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank of Jepun (BOJ) baru-baru ini, pasaran dilihat telah menerima kemungkinan bahawa dasar monetari akan terus ketat sehingga inflasi mula bergerak ke arah sasaran dua peratus," katanya kepada Bernama merujuk mengenai sasaran Fed.

Ad Banner

Mohd Afzanizam berkata harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$100 setong sekali gus mencerminkan keadaan geopolitik yang masih rapuh.

“Terdahulu, penyambungan semula aliran minyak dari Arab Saudi melalui Selat Hormuz memberikan rangsangan yang amat diperlukan terhadap keyakinan pasaran bahawa kekurangan bekalan minyak dapat dielakkan. Namun, pada hakikatnya, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya  tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6705/6757 daripada 4.6783/6834 semasa ditutup pada Isnin dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4452/4512 daripada 5.4542/4603. Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5958/5988 daripada 2.5916/5946 sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1955/1993 daripada 3.1950/1987 semasa ditutup pada Isnin dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.2847/3035 daripada 12.2450/2637.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.7/228.0 daripada 228.3/228.6 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.49/6.50.

-- BERNAMA