Niaga Hadapan MSM Terus Susut Susulan Harga Minyak Mentah Rendah
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penyusutan dengan ditutup rendah pada Selasa berikutan harga minyak mentah yang rendah menjejaskan sentimen pasaran.
Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM susut hampir satu peratus apabila harga minyak mentah berubah arah, sekali gus menyebabkan tekanan jualan baharu.
“Niaga hadapan MSM pada awalnya meningkat berikutan pembelian semasa harga rendah dan pengukuhan harga minyak mentah.
“Bagaimanapun, sentimen semakin lemah selepas harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras Brent berubah arah, susut hampir 2.8 peratus kepada sekitar US$98 setong pada waktu dagangan lewat Asia.
“Aktiviti jualan besar-besaran semakin ketara berikutan laporan bahawa Iran menawarkan untuk membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari, sekali gus meningkatkan harapan terhadap rundingan semula dan meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan,” katanya kepada Bernama.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent menyusut 1.43 peratus kepada US$98.99 setong.
Sementara itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga MSM kekal kukuh melebihi RM4,700 satu tan pada Oktober dan mungkin sepanjang tempoh yang masih berbaki tahun ini, didorong oleh ketidaktentuan cuaca serta pasaran tenaga yang memberangsangkan.
“Risiko utama terhadap penurunan harga ialah penurunan harga tenaga dan peningkatan stok yang selanjutnya berikutan pengeluaran minyak sawit lazimnya mencapai kemuncak bermusim pada September atau Oktober,” menurutnya.
Pada akhir dagangan, kontrak Oktober 2026 turun RM49 kepada RM4,639 satu tan, November 2026 susut RM48 kepada RM4,731 satu tan dan Disember 2026 rendah RM47 kepada RM4,810 satu tan.
Sementara itu, Januari 2027 susut RM45 kepada RM4,884 satu tan, Februari 2027 turun RM40 kepada RM4,952 satu tan dan Mac 2027 berkurangan RM28 kepada RM5,016 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 144,008 lot daripada 87,334 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menokok kepada 337,546 kontrak daripada 333,717 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi September Selatan susut RM30 kepada RM4,670 satu tan.
-- BERNAMA