BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

Bursa Malaysia Kekal Kukuh Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal dalam wilayah positif pada tengah hari, disokong minat belian terhadap beberapa kaunter wajaran tinggi terpilih, didahului saham perbankan dan penjagaan kesihatan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.47 mata kepada 1,681.41 berbanding 1,666.94 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 2.80 mata lebih tinggi pada 1,669.74, bergerak antara 1,665.23 dan 1,681.89 sepanjang sesi dagangan.

Ad Banner

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 534 berbanding 432. Sebanyak 538 kaunter tidak berubah, 1,369 tidak diniagakan manakala 11 kaunter digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.14 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dari sudut teknikal indeks penanda aras itu mencatatkan pemulihan kecil pada Isnin, namun masih bergerak di bawah paras purata bergerak utama.

Meskipun pergerakan indeks masih berada di bawah paras sifar, trend itu menunjukkan tanda pemulihan, manakala tekanan jualan pula menghampiri tahap terlebih jual, katanya dalam nota hari ini.

Ad Banner

Firma itu berkata paras rintangan utama berada pada 1,681-1,696, manakala paras sokongan pada 1,636-1,651.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.40, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.84, CIMB naik 19 sen kepada RM7.84, Tenaga Nasional mengukuh enam sen kepada RM13.10 dan IHH Healthcare menokok 38 sen kepada RM8.

Antara kaunter paling aktif ialah AIMAX dan Jaks Resources, masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 17 sen, manakala Zetrix AI mengukuh setengah sen kepada 20.5 sen, AirAsia meningkat lima sen kepada 58 sen dan Capital A menambah 3.5 sen kepada 27.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Fraser & Neave meningkat 38 sen kepada RM22.98, UMS Integration mengukuh 29 sen kepada RM8.75, APM Automotive menokok 28 sen kepada RM2.82, Malaysian Pacific Industries naik 26 sen kepada RM43.06 dan MI Technovation meningkat 24 sen kepada RM5.90.

Bagi kaunter rugi utama pula, Nestle susut 58 sen kepada RM89.12, Allianz Malaysia turun 30 sen kepada RM21, Sunway Healthcare berkurangan 10 sen kepada RM2.19, Hibiscus Petroleum susut sembilan sen kepada RM2.27 dan Can One turun lapan sen kepada RM1.61.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 101.34 mata kepada 17,790.48, Indeks FBM Emas menambah 95.71 mata kepada 12,494.32, Indeks FBM Top 100 naik 96.55 mata kepada 12,286.99, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 77.80 mata kepada 12,314.56 dan Indeks FBM ACE menokok 43.10 mata kepada 5,359.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.05 mata kepada 184.55 manakala Indeks Tenaga menambah 2.00 mata kepada 847.43.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 179.81 mata kepada 19,671.28, manakala Indeks Perladangan menambah 30.47 mata kepada 9,440.96.

-- BERNAMA