BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | 

U Mobile, ZTE Lengkapkan Bukti Konsep Tapak Rangkaian 5G Berkuasa Tenaga Hijau Luar Grid

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- U Mobile dan ZTE Corporation melengkapkan bukti konsep (POC) bagi tapak rangkaian 5G mudah alih yang beroperasi sepenuhnya di luar grid dan dijana 100 peratus oleh tenaga hijau.

Ini sekali gus menunjukkan pendekatan yang lebih pantas serta mampan untuk memperluas liputan kepada komuniti di kawasan terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan.

Penyedia rangkaian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tapak berkenaan dijana sepenuhnya tenaga solar dan dihubungkan secara terus ke rangkaian teras U Mobile menerusi sambungan rangkaian melalui satelit. 

Ad Banner

Jelasnya, hal ini sekali gus membolehkan penyelesaian itu beroperasi secara bebas daripada grid elektrik nasional dan infrastruktur transmisi darat seperti gentian optik.

Menurutnya ini membolehkan pelaksanaan di lokasi iaitu pembinaan infrastruktur rangkaian konvensional mungkin sukar atau mengambil masa yang lama.

“POC itu membuktikan tapak berkenaan boleh dipasang dan diaktifkan sepenuhnya dalam tempoh hanya tiga hari berbanding hampir setahun bagi pemasangan menara konvensional di kawasan luar bandar yang mencabar,” tambahnya.

Ad Banner

U Mobile menyatakan POC itu diuji rintis di Sekolah Kebangsaan Mentu, sebuah sekolah rendah di Sebuyau, Sarawak dan Balai Kebudayaan Iburu, sebuah dewan komuniti di Sipitang, Sabah dengan struktur tiang ringan setinggi 12 meter dipasang di setiap lokasi sebagai ganti menara telekomunikasi konvensional.

Jelasnya, disokong panel solar berkecekapan tinggi dan sistem sandaran bateri yang mampu beroperasi sehingga 52 jam tanpa cahaya matahari selain bergantung pada konfigurasi, tapak berkenaan menyokong perkhidmatan 4G dan 5G serta mencapai kelajuan muat turun puncak sehingga 134 megabit sesaat ketika ujian secara langsung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata POC itu membuktikan bagaimana tapak luar grid yang dijana sepenuhnya oleh tenaga hijau boleh dilaksanakan dengan pantas selain tetap menyediakan sambungan 4G dan 5G yang boleh dipercayai.

“Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu di Malaysia, kami mempunyai peluang untuk meneroka cara yang lebih pantas bagi memperluas rangkaian kami terutamanya di kawasan yang sukar untuk dilaksanakan secara konvensional.

“Bersama-sama rakan teknologi seperti ZTE, kami akan terus meneroka inovasi praktikal yang dapat mempercepat peluasan rangkaian ULTRA5G kami, membantu merapatkan jurang digital serta memperluas manfaat kesalinghubungan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran ZTE Malaysia Tey Khang Lian berkata kerjasama berkenaan menggabungkan tenaga solar, penyimpanan bateri dan sambungan rangkaian melalui satelit dalam satu penyelesaian rangkaian luar bandar mudah alih yang menangani cabaran utama infrastruktur di kawasan pedalaman.

“POC perintis luar bandar ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk menjadikan sambungan 4G dan 5G lebih mudah diakses seterusnya menyokong aspirasi terangkum digital Malaysia,” katanya.

U Mobile memberitahu, penyelesaian mudah alih tersebut juga mempunyai potensi penggunaan dalam situasi kecemasan dan tindak balas terhadap bencana.

Jelasnya, pelaksanaan dengan pantas serta keupayaannya untuk beroperasi secara bebas daripada bekalan tenaga grid dan infrastruktur penghantaran darat dapat membantu memulihkan sambungan di kawasan yang mengalami gangguan infrastruktur sedia ada.

-- BERNAMA