Pemegang Unit AmFIRST REIT Lulus Penjualan Menara AmBank Bernilai RM331 Juta

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Pemegang unit AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT) hari ini meluluskan cadangan penjualan Menara AmBank bernilai RM331 juta.

Ia sekali gus membuka jalan bagi REIT tersebut meneruskan pengambilalihan baharu dalam sektor penjagaan kesihatan, perindustrian, logistik dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers Sdn Bhd (AmREIT Managers) Chong Hong Chuon berkata penjualan itu akan mengurangkan tahap kadar hutang AmFIRST REIT kepada kira-kira 33 peratus daripada 46 peratus hingga 47 peratus.

Ad Banner

Oleh itu, katanya, ia akan memberikan REIT tersebut lembaran imbangan yang baik bagi meneruskan strategi pempelbagaian portfolionya. 

“Bagi fasa pertama rasionalisasi, saya berpendapat kami telah selesai dengan proses penjualan ini.

“Jadi, selepas ini kita akan beralih kepada pempelbagaian,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) AmFIRST REIT di sini hari ini.

Ad Banner

Chong berkata REIT itu sedang giat mencari peluang pelaburan, malah sebelum penjualan tersebut dilaksanakan, dan telah menilai pelbagai subsektor hartanah. 

“Kami akan mempertimbangkan aset defensif dengan tempoh pajakan jangka panjang dan penyewa yang baik, selain kekal terbuka kepada peluang untuk memenuhi kriteria pelaburannya. 

“Susulan penjualan itu, komponen pejabat dalam portfolio aset AmFIRST REIT akan susut kepada 45 peratus daripada 62 peratus, sekali gus membolehkannya mempelbagaikan lagi campuran asetnya,” katanya. 

Chong berkata pengambilalihan itu juga boleh memberikan potensi keuntungan tambahan kepada pendapatan, terutamanya jika REIT itu dapat memperoleh aset yang menjana pulangan antara enam hingga tujuh peratus berbanding kos pinjaman sekitar empat peratus. 

“Melainkan tiada halangan yang tidak dijangka, cadangan penjualan itu dijangka selesai pada suku terakhir 2026,” katanya. 

Mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata pemansuhan cukai pegangan 10 peratus ke atas agihan REIT kekal sebagai keutamaan dalam senarai harapan industri, sambil menambah bahawa pihak industri telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung perkara itu. 

Beliau berkata pihak industri juga berharap struktur cukai yang lebih mesra perniagaan memandangkan kos menjalankan perniagaan yang lebih tinggi. 

Sementara itu, Chong berkata prospek segmen hartanah pejabat semakin mengukuh, dengan AmFIRST REIT menerima lebih banyak pertanyaan sejak dua tahun lepas, apabila perniagaan kembali kepada pejabat fizikal dan mengembangkan operasi mereka. 

“Keadaan adalah lebih baik berbanding semasa dan sejurus selepas pandemik COVID-19, apabila sektor ini terjejas dengan lebihan bekalan dan trend bekerja dari rumah.

“Segmen runcit turut menunjukkan momentum positif, manakala sektor hospitaliti terus menyaksikan permintaan yang menggalakkan, disokong oleh ketibaan pengunjung,” tambahnya. 

Yang turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers Zuhairy Md Isa, Ketua Kewangan Abdul Rahman Mohd Joned dan Ketua Pemasaran dan Pajakan Danny Chee Kok Leong.

-- BERNAMA