Lawatan Kerja PM Anwar Ke China Bagi Misi Diplomasi Pelbagai Hala, Perdagangan Digital, TVET
Daripada Harlina Samson
SHANGHAI, 21 Sept (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shanghai dan Hangzhou bermula Selasa bertujuan untuk memperkukuh hubungan ekonomi, memajukan rangka kerja perdagangan digital serta menekankan mengenai kepentingan pembangunan bakat teknikal.
Dalam rangka lawatan kerja tiga hari atas jemputan kerajaan China, jadual padat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan tertumpu kepada pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang serta penyertaan dalam WorldSkills Shanghai 2026 dan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di Hangzhou.
“Ini adalah lawatan Perdana Menteri yang keempat ke China (sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022) sekali gus menunjukkan betapa akrab dan rapatnya hubungan antara Malaysia dengan China.
“Walaupun lawatan ini adalah bersifat lawatan kerja, Perdana Menteri telah diberikan penghormatan oleh Li dengan mengadakan perjumpaan dua hala antara Malaysia dengan China dan jamuan makan malam yang akan diadakan di Hangzhou,” kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad menjelang ketibaan Perdana Menteri pada Selasa.
Beliau berkata lawatan Anwar juga bertujuan untuk memulakan kerjasama dalam bidang baharu di luar bidang tradisional, seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan WorldSkills 2026 dan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di Hangzhou.
-- BERNAMA