Mini Pelabuhan Darat Di Mengkibol Dirancang Penuhi Keperluan Kargo Tengah, Timur Johor
Oleh Kamarul Halim M Kamal
SEGAMAT, 21 Sept (Bernama) -- Syarikat penyedia perkhidmatan logistik dan pengangkutan Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd bercadang membangunkan sebuah mini pelabuhan darat menggunakan landasan sisi di Stesen Kereta Api Mengkibol, Kluang bagi memenuhi keperluan pengangkutan kargo berasaskan rel di kawasan tengah dan timur Johor.
Pengurus Segamat Inland Port (SIP) Samuel Oh berkata kemudahan itu dirancang berkonsepkan seperti 'terminal bas' yang memberi tumpuan kepada aktiviti penerimaan dan penghantaran kargo, dengan skala operasi lebih kecil berbanding SIP di Segamat.
Beliau berkata projek berkenaan kini di peringkat akhir perbincangan dan menunggu kelulusan kerajaan negeri, termasuk berkaitan keluasan tapak yang akan digunakan.
"Jika mendapat kelulusan, pembinaan mungkin boleh dimulakan seawal tahun hadapan.
"Apabila beroperasi kelak, ia dijangka merancakkan lagi kemudahan logistik berasaskan rel bukan sahaja bagi Kluang, malah Mersing dan sebahagian Batu Pahat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Samuel berkata pembangunan kemudahan itu turut memerlukan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi penggunaan stesen berkenaan untuk aktiviti logistik dan kargo selain kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Beliau berkata Stesen Kereta Api Mengkibol sesuai bagi tujuan itu kerana kedudukannya yang strategik di tengah Johor dan kini lebih berperanan sebagai stesen teknikal KTMB selepas tidak lagi digunakan untuk perkhidmatan naik turun penumpang susulan pengoperasian Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
"Seperti SIP, kemudahan di Mengkibol boleh membantu memendekkan tempoh penghantaran kargo, mengurangkan risiko kelewatan akibat kesesakan jalan raya serta membolehkan jadual penerimaan dan penghantaran kargo diurus dengan lebih teratur.
"Buat masa ini, kita belum menetapkan sasaran pengendalian unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kerana ia masih dalam perancangan, tetapi matlamatnya adalah memudahkan pergerakan kargo dari Kluang, Batu Pahat dan Mersing ke pelabuhan utama negara," katanya.
Rancangan itu menyusuli pengaktifan semula SIP pada 25 Jun lepas selepas lebih 10 tahun kurang aktif, selaras dengan usaha memperkasakan pengangkutan rel menerusi inisiatif 'Road to Rail' dengan kerjasama KTMB.
SIP yang turut dikendalikan Infinity Logistics & Transport menyasarkan pengendalian lebih 6,000 TEU hingga akhir tahun ini dan telah mengendalikan kira-kira 1,000 TEU sehingga Julai, melibatkan kargo kontena dan pukal.
Pengoperasian SIP ketika ini meliputi keperluan industri terutama di utara Johor selain selatan Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, dengan perkhidmatan kargo menghubungkannya dengan Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.
Penggunaan rel bagi pengangkutan kargo juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya dengan satu perjalanan tren kargo bersamaan kira-kira 80 lori kontena, manakala SIP dijangka dapat mengurangkan kira-kira 18,000 pergerakan lori termasuk treler dan kontena di jalan raya setiap bulan.
-- BERNAMA