Labuan IBFC, TRX City Perkukuh Visi ‘1 Ekosistem, 2 IFC’
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd akan memperkukuh kerjasama di antara kedua-dua pusat kewangan antarabangsa (IFC) berkenaan serta memajukan visi bersama ‘1 Ekosistem, 2 IFC’.
Kerjasama tersebut akan meneroka inisiatif pembangunan pasaran bersama, perkongsian pengetahuan dan penyelidikan, aktiviti promosi serta kemudahan pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Labuan IBFC Ben Quah berkata kerjasama berkenaan akan membuka peluang kepada syarikat di kedua-dua IFC untuk menawarkan penyelesaian secara silang selain menampilkan Malaysia sebagai destinasi yang menawarkan ekosistem kewangan yang saling melengkapi.
“Pertama, kami melihat syarikat-syarikat yang terdapat di kedua-dua lokasi itu merupakan kumpulan sasarannya. Kami akan menawarkan penyelesaian secara silang dan pada masa yang sama, apabila kami memasarkan Malaysia kepada pasaran luar, pelabur akan mempunyai satu lokasi yang menawarkan kedua-dua pilihan tersebut.
“Saya fikir, akan menjadi sangat menarik kepada potensi perniagaan baharu serta pelabur baharu,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Labuan IBFC dengan TRX City di sini hari ini.
Quah berkata penyelesaian pusat separa pesisir Labuan IBFC terutamanya lima tawaran utamanya, mampu bertindak sebagai peluasan atau “papan anjal” bagi perniagaan yang berhasrat untuk mengembang ke peringkat serantau.
“Saya fikir di sinilah kedudukan Labuan yang sangat strategik. Kita sebahagian daripada Malaysia, mempunyai struktur yang hebat, rangka kerja yang cemerlang serta seiring dengan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
“Oleh itu, anda akan melihat kepada sesuatu yang benar-benar bersedia untuk membolehkan perniagaan berkembang ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Datuk Azmar Talib menyatakan perniagaan yang beroperasi dalam ekosistem tadbir urus Labuan juga boleh mendapat manfaat daripada kehadiran di Tun Razak Exchange (TRX), memandangkan Kuala Lumpur merupakan pangkalan pasaran utama.
Beliau percaya perkara ini akan memperkukuh ekosistem perniagaan negara memandangkan perkhidmatan kewangan merupakan bahagian penting dalam menjalankan perniagaan.
“Jadi, tumpuan kami adalah untuk memperkukuh industri perkhidmatan kewangan. Perkhidmatan yang menyokong industri perkhidmatan kewangan juga digalakkan untuk beroperasi di TRX.
“Ia tidak terhad kepada bank atau insurans sahaja tetapi merangkumi pelbagai perkhidmatan lain seperti teknologi kewangan (FinTech), perkhidmatan digital, perkhidmatan korporat, perundangan, perakaunan atau kewangan,” tambahnya.
Labuan IBFC kini menempatkan kira-kira 5,000 syarikat yang masih menjalankan operasi.
Kedudukannya yang semakin kukuh sebagai hab antarabangsa terkemuka turut dicerminkan dalam Global Financial Centres Index (GFCI) apabila kedudukannya meningkat dengan ketara daripada tempat ke-55 kepada tempat ke-44 daripada 139 pusat kewangan global pada tahun ini.
Lebih 120 firma kini menjadikan TRX sebagai pangkalan mereka dengan IFC tersebut bertindak sebagai pintu masuk yang menghubungkan perniagaan, modal dan bakat kepada peluang di seluruh Malaysia, ASEAN serta rantau yang lebih luas.
-- BERNAMA