TNB Peruntuk RM120-RM150 Juta Bagi Sokong Langkah Perlindungan Berkaitan Bil Elektrik
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menyediakan antara RM120 juta hingga RM150 juta bagi menyokong langkah perlindungan berkaitan bil elektrik bagi tempoh September hingga Disember 2026, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shamsul Ahmad.
Beliau berkata sebagai syarikat utiliti nasional, TNB telah memberikan komitmen dan menyifatkan langkah itu sebagai sumbangannya kepada negara dan rakyat.
“Ini adalah antara pendekatan yang boleh kami lakukan untuk membantu dalam tempoh yang mencabar ini.
“Langkah sedemikian sama seperti yang kami lakukan semasa COVID-19, banjir dan sebagainya. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk turut sama membantu, dan kami berbesar hati kerana dapat berbuat demikian,” katanya pada sidang media hari ini.
Shamsul berkata mengenai kesan terhadap penyata untung dan rugi (P&L) syarikat, TNB akan berusaha lebih giat untuk mengimbangi kos yang ditanggung dengan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan dari segi kos dalam operasinya.
--BERNAMA