Indeks Utama Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Dalam Sentimen Berhati-hati
Oleh Harizah Hanim Mohamed and Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia menyaksikan aktiviti belian dan jualan secara berselang-seli sebelum mengakhiri sesi dagangan pagi pada paras rendah berikutan sentimen berhati-hati selepas kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), hasil Perbendaharaan AS yang tinggi dan jualan berterusan oleh pelabur asing.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI menurun 1.53 mata kepada 1,673.21 daripada 1,674.74 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka tinggi 1.98 mata kepada 1,676.72, bergerak antara 1,671.95 dan 1,677.83 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh, bagaimanapun positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 510 berbanding 460 manakala 496 kaunter tidak berubah, 1,400 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.01 bilion saham bernilai RM1.28 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beliau menjangka indeks petunjuk pasaran kekal berada dalam fasa konsolidasi walaupun hasil dan harga minyak yang rendah boleh menggalakkan aktiviti belian saham pada harga rendah secara terpilih.
“FBM KLCI dijangka diniagakan antara 1,670 dan 1,685 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dari aspek teknikal, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan memaklumkan indeks petunjuk pasaran dijangka terus diniagakan di bawah purata bergerak mudah (SMA) untuk tempoh 10 hari berikutan petunjuk momentum yang memberikan isyarat bercampur-campur.
“Paras halangan utama adalah pada 1,727 hingga 1,742 mata manakala paras sokongan dijangka pada 1,682 hingga 1,697 mata,” menurutnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing mendatar pada RM10.36, RM4.80 dan RM7.69, CIMB menurun dua sen kepada RM7.67 dan Tenaga Nasional berkurangan 10 sen kepada RM13.22.
Bagi saham aktif, Zetrix AI merosot satu sen kepada 23.5 sen, FBSM menyusut tiga sen kepada 7.5 sen, AirAsia menurun dua sen kepada 48.5 sen, Capital A merosot setengah sen kepada 22.5 sen manakala Jaks Resources menambah 1.5 sen kepada 15.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries naik RM2.46 kepada RM42.56, Unisem meningkat 30 sen kepada RM4.45, UMS Integration menambah 26 sen kepada RM8.39, Pentamaster menokok 23 sen kepada RM5.45 dan Sunway Construction naik 20 sen kepada RM7.32.
Kaunter paling rugi termasuklah Petronas Dagangan menurun 76 sen kepada RM20.32, Nestle berkurangan 48 sen kepada RM90.04, Hong Leong Bank merosot 32 sen kepada RM22.78, United Plantations menyusut 22 sen kepada RM33.36 dan PPB menurun 21 sen kepada RM9.50.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 6.72 mata kepada 12,421.55, Indeks FBM Top 100 meningkat 1.92 mata kepada 12,220.86, Indeks FBM ACE menambah 35.96 mata kepada 5,232.41, Indeks FBM Mid 70 menokok 58.50 mata kepada 17,665.73 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 23.72 mata kepada 12,297.60.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.83 mata kepada 185.69 manakala Indeks Tenaga berkurangan 0.31 mata kepada 814.83.
Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 51.30 mata kepada 19,484.62 dan Indeks Perladangan merosot 34.24 mata kepada 9,473.04.
-- BERNAMA