BERITA TERKINI   Pendirian kerajaan terhadap rasuah tidak berubah, semua kes termasuk kes Najib terus diproses mengikut undang-undang - Fahmi | Pengampunan bersyarat kepada Najib tidak jejas ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar | Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | 

MOTAC, MGA Teroka Kerjasama Hasilkan Produk Emas Bertemakan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meneroka kerjasama dengan Persatuan Emas Malaysia (MGA) bagi menghasilkan produk emas bertemakan Malaysia sebagai pendekatan baharu untuk mempromosikan identiti dan destinasi pelancongan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata inisiatif itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama antara kementerian dan pihak industri dalam usaha memperkukuh promosi pelancongan Malaysia.

“Saya juga ada berbincang dengan Presiden MGA, mungkin kita boleh melancarkan satu program untuk menghasilkan gold card yang mencerminkan identiti Malaysia.

Ad Banner

“Saya turut melihat ada satu gold card kreatif yang mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan di Malaysia. Jadi, mungkin kita boleh bergerak ke arah itu untuk mempromosikan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Emas Malaysia 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chiew berkata industri emas di Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan, termasuk sebagai satu daripada  instrumen pelaburan yang boleh membantu meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata emas bukan sahaja mempunyai nilai ekonomi, malah berkait rapat dengan sejarah, adat resam dan kebudayaan masyarakat di negara ini.

Ad Banner

“Jadi, saya melihat industri (emas) ini mempunyai potensi sangat besar di negara kita untuk terus dirancakkan, serta menjadi salah satu instrumen pelaburan untuk mendidik masyarakat tentang literasi kewangan,” katanya.

Festival Emas Malaysia (MGF) 2026 menghimpunkan kira-kira 70 pempamer tempatan dan antarabangsa daripada seluruh rantaian nilai emas dan barang kemas untuk program selama tiga hari yang merangkumi urus niaga, jaringan perniagaan, pertukaran pengetahuan serta penglibatan pengguna.

Festival itu dijangka menjana urus niaga sehingga RM100 juta dan menarik antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung tempatan serta antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada sektor hospitaliti, peruncitan, makanan dan minuman, pengangkutan serta pelancongan di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA