BERITA TERKINI   Pengampunan bersyarat kepada Najib tidak jejas ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar | Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | 

MITI Susuli Usaha Perluas Akses Barangan Malaysia Ke India – PM Anwar

Daripada Ratcharathan A/L Rawe Shanggar

KERALAM (INDIA), 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyusuli usaha untuk memperluas akses barangan Malaysia ke pasaran India, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di New Delhi, dengan beberapa sekatan yang masih perlu ditangani bagi memudah cara perdagangan antara kedua-dua negara.

Ad Banner

“Kami percaya masih terdapat beberapa sekatan, contohnya berkaitan syarikat penerbangan. Kami masih memohon kemudahan tambahan di beberapa bandar lain,” kata Anwar pada sidang media bersama media Malaysia di Calicut di sini, sebelum mengakhiri lawatan kerja beliau ke India hari ini.

Beliau berkata perkara itu turut dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ketua Menteri Keralam V.D. Satheesan dan Malaysia akan menggunakan saluran yang sewajarnya untuk menanganinya, selain terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan India.

“Ini merupakan antara perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Keralam. Saya fikir permintaan itu munasabah, tetapi kita perlu menanganinya melalui mekanisme yang betul,” kata Anwar.

Ad Banner

Perdana Menteri menegaskan Malaysia melihat India sebagai rakan ekonomi penting dan berhasrat memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata usaha memperluas akses pasaran penting bagi memastikan lebih banyak barangan Malaysia dapat menembusi pasaran India, sekali gus memberi manfaat kepada industri dan perniagaan tempatan.

Terdahulu, Anwar dan Satheesan membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan yang lebih besar antara Malaysia dengan Kerala, negeri di selatan India.

Perbincangan itu berlangsung ketika Satheesan mengadakan kunjungan hormat terhadap Anwar di Calicut, bersempena dengan lawatan kerja Perdana Menteri ke India dan kunjungan sulung beliau ke Kerala sebagai Perdana Menteri.

Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang dipengerusikan Perdana Menteri India Narendra Modi, selain menyampaikan Kenyataan Negara bertemakan “Membentuk Masa Depan bagi Pertumbuhan Global Inklusif”.

-- BERNAMA