BERITA TERKINI   Pengampunan bersyarat kepada Najib tidak jejas ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar | Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | 

Aktiviti Pengambilan Untung Dijangka Beri Tekanan Kepada Niaga Hadapan MSM Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 12 Sept  (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan antara RM4,400 dan RM4,500 setan minggu depan, dengan aktiviti pengambilan untung berkemungkinan memberi tekanan berikutan bekalan stok minyak sawit yang mencukupi.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata stok minyak sawit Malaysia kekal tinggi susulan pengeluaran yang kukuh pada Ogos 2026, dengan pengeluaran negara mencecah kira-kira 2.8 juta tan.

Ad Banner

“Kita mempunyai stok MSM yang banyak; tiada kekurangan. Saya fikir kumpulan spekulator akan mengambil untung,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata permintaan fizikal berkemungkinan kekal berhati-hati kerana pembeli enggan membuat pembelian pada harga yang tinggi, dengan permintaan dijangka dari China, India, Pakistan, negara-negara Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

“Permintaan fizikal daripada pembeli yang hanya membeli apabila perlu memandangkan harga yang tinggi,” katanya.

Ad Banner

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 196,590 tan atau 7.48 peratus kepada 2.82 juta tan pada Ogos 2026 daripada 2.62 juta tan pada bulan sebelumnya.

MPOB memaklumkan stok MSM meningkat 15.20 peratus atau 217,092 tan kepada 1.64 juta tan pada Ogos 2026 daripada 1.42 juta tan pada Julai 2026.

Bagaimanapun, eksport minyak sawit susut 7.50 peratus pada Ogos 2026 kepada 1.29 juta tan daripada 1.39 juta tan pada bulan sebelumnya, tambahnya.

Sementara itu, peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng menjangkakan harga MSM kekal tinggi dalam tempoh terdekat, disokong oleh kebimbangan yang berterusan terhadap keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak September 2026 susut RM58 kepada RM4,550 satu tan, Oktober 2026 turun RM105 kepada RM4,670 satu tan, manakala kontrak November 2026 berkurangan RM115 kepada RM4,814 satu tan.

Kontrak Disember 2026 susut RM110 kepada RM4,944 satu tan, Januari 2027 turun RM99 kepada RM5,056 satu tan, manakala Februari 2027 jatuh RM79 kepada RM5,148 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 875,237 lot daripada 470,612 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 349,906 kontrak daripada 334,025 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi September Selatan turun RM30 kepada RM4,620 satu tan.

-- BERNAMA