BERITA TERKINI   Pengampunan bersyarat kepada Najib tidak jejas ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar | Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | 

Maybank Selesai Ambil Alih Baki Kepentingan Dalam Maybank Ageas

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) melengkapkan cadangan pengambilalihan bagi baki kepentingan 30.95 peratus dalam Maybank Ageas Holdings Bhd (Maybank Ageas), selepas memeterai perjanjian pembelian saham dengan Ageas Insurance International NV (Ageas) pada 8 Sept 2026. 

Menurut bank itu dalam satu kenyataan hari ini, proses pengambilalihan tersebut berjaya diselesaikan selepas menerima kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Sept 2026. 

Maybank Ageas ialah syarikat pegangan bagi perniagaan Etiqa di Malaysia dan Singapura, yang menyediakan rangkaian lengkap produk insurans konvensional hayat dan am serta produk takaful keluarga dan am menerusi pelbagai saluran pengedaran.

Ad Banner

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata kejayaan melengkapkan pengambilalihan itu merupakan satu pencapaian penting bagi bank tersebut, dalam usaha memperkukuhkan aspirasi Etiqa untuk menjadi peneraju insurans dan takaful nasional.

Selain itu, ia juga bagi mengembangkan kedudukannya ke seluruh Asia Tenggara dan menjadi organisasi takaful bertaraf global di bawah strategi ROAR30. 

“Dengan status Maybank Ageas sebagai anak syarikat milik penuh Maybank, ia telah memperkukuhkan lagi kedudukan Etiqa sebagai peneraju insurans dan takaful nasional, sekali gus memperluaskan capaian kepada pangkalan pelanggan Maybank. 

Ad Banner

“Tumpuan kami adalah untuk memacu nilai kepada pelanggan di seluruh Asia Tenggara menerusi tawaran kekayaan serantau, strategi jualan silang serta penyediaan penyelesaian kewangan yang lebih bersepadu dan diperibadikan,” tambahnya. 

Selain itu, bank tersebut turut  memaklumkan bahawa Maybank Ageas dijangka kekal pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam sektor insurans dan takaful.

Ia disokong oleh pangkalan pelanggan dan rangkaian pengedaran yang meluas, serta permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap penyelesaian perlindungan yang lebih bersepadu dan diperibadikan. 

-- BERNAMA