BERITA TERKINI   Lebih 600 anak Orang Asli lanjut pengajian di universiti dan kolej seluruh negara, bukti kerajaan pentingkan pendidikan - TPM Ahmad Zahid | MAHA 2026 catat nilai jualan RM66.88 juta, jangkaan pelaburan RM10.3 bilion - Mohamad | MAHA 2026 catat 4.3 juta pengunjung setakat 10 malam tadi - Mohamad | Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Indonesia ditutup sementara akibat abu gunung berapi, 209 penerbangan terjejas - Kementerian Pengangkutan | 
Ad Banner

Bursa Malaysia Pelawa Maklum Balas Fasa Dua Peralihan Sekuriti Tanpa Skrip

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd hari ini mengemukakan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas mengenai pindaan yang dicadangkan untuk memudahkan Fasa 2 peralihan kepada sekuriti tanpa skrip yang didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali bursa itu berkata cadangan pindaan berkenaan melibatkan Peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd serta pindaan susulan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE.

Cadangan ini melibatkan penghapusan keperluan menerbitkan dan menyimpan sijil fizikal sebagai bukti hak milik atau pemilikan sekuriti yang didepositkan.

Ad Banner

“Ia bertujuan menyokong proses depositori yang lebih cekap dan mampan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap dokumentasi bercetak serta memperkemas langkah-langkah utama dalam proses pendepositan sekuriti,” kata Bursa Malaysia.

 Menurut bursa, kertas rundingan itu antara lain adalah untuk mendapatkan maklum balas awam meliputi penyederhanaan proses pendepositan sekuriti, penambahbaikan peranan penerbit dan pendaftar saham dalam proses berkenaan serta pengenalan peruntukan peralihan bagi pemulangan dan pembatalan skrip fizikal.

Fasa 1 peralihan itu dimulai pada 1 Ogos 2025, melibatkan lebih 2,700 penerbitan bagi sekuriti yang ditetapkan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi Fasa 2, ia akan memperluas rangka kerja dematerialisasi kepada semua sekuriti, sekali gus menjadi langkah penting ke arah persekitaran tanpa skrip fizikal, menurut Bursa Malaysia.

Rundingan awam itu akan berlangsung selama enam minggu, mulai 1 Sept 2026 hingga 13 Okt 2026.

-- BERNAMA