Kadar Caruman KWSP Majikan Dua Peratus Bagi Pekerja Asing Relatif Rendah - MoF
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi syer majikan untuk pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia merupakan kadar yang relatif rendah, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Kementerian itu memaklumkan kadar itu mengambil kira keperluan mengimbangi objektif perlindungan sosial pekerja dengan pertimbangan kos yang ditanggung oleh majikan.
“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh majikan berhubung peningkatan kos perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Di bawah peruntukan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, bermula Oktober 2025, setiap majikan adalah diwajibkan untuk membuat caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia,” menurut MoF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai langkah kerajaan mengurangkan beban PKS ketika kos menjalankan perniagaan semakin meningkat, termasuk mempertimbangkan supaya caruman KWSP ditanggung sepenuhnya oleh pekerja asing sahaja.
Menurut kementerian itu, sejak pelaksanaan caruman mandatori itu pada Oktober 2025, sebanyak 78,129 majikan telah membuat caruman KWSP bagi 1,754,460 pekerja bukan warganegara.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 86 peratus atau 67,194 majikan merupakan majikan dalam kalangan PKS, merangkumi majikan yang mempunyai bilangan pekerja tidak melebihi 200 orang bagi sektor pembuatan serta tidak melebihi 75 orang bagi sektor perkhidmatan dan lain-lain.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan caruman mandatori telah mula diterima dan dilaksanakan dalam kalangan majikan, termasuk dalam kalangan PKS,” menurut kementerian.
MoF memaklumkan pelaksanaan caruman mandatori itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperluas liputan perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, selaras dengan amalan antarabangsa.
Menurutnya kerajaan sentiasa mengalu-alukan cadangan daripada semua pihak bagi tujuan penambahbaikan dasar dari semasa ke semasa.
“Kerajaan akan terus memantau keberkesanan inisiatif-inisiatif ini serta melibat urus dengan persatuan dan komuniti PKS bagi memastikan bantuan yang disediakan sampai kepada perniagaan yang memerlukan,” menurut MoF.
-- BERNAMA