BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan Red Warrior 0-0 Kuching City FC | 

AmanahRaya Lantik Mohd Iskandar Dzulkarnain Pengarah Urusan Kumpulan

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) - Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) melantik Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai pengarah urusan kumpulan berkuat kuasa hari ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Iskandar memiliki pengalaman lebih 18 tahun dalam kepimpinan korporat merangkumi audit dalaman, pengurusan risiko, perancangan korporat, pembangunan hartanah, kewangan dan operasi perniagaan.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah sebagai pegawai kanan di Sapura Crest Petroleum Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, Khazanah Nasional Bhd Group dan Bina Darulaman Bhd.

Ad Banner

Pada 2023, Mohd Iskandar menyertai AmanahRaya sebagai ketua pegawai perkhidmatan korporat kumpulan yang memantau dan membimbing pelan strategik fungsi-fungsi sokongan korporat kumpulan.

"Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pemangku pengarah urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd (sebagai Pengurus REIT untuk AmanahRaya REIT), sebelum dilantik sebagai pengarah urusan pada Mac 2025," maklum kenyataan itu.

Mohd Iskandar memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan Certified Chartered Financial Modelling Professional (CFMP) bertauliah selain menjadi ahli Persatuan Pengurusan Risiko dan Insurans Malaysia (MARIM).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengerusi AmanahRaya Datuk Seri Dr Vaseehar Hassan Abdul Razack berkata pengalaman luas Mohd Iskandar dalam keutamaan strategik organisasi diharapkan dapat membantu memperkukuh kumpulan untuk membina daya tahan yang lebih baik pada masa depan.

"Lembaga pengarah yakin di bawah kepimpinannya AmanahRaya akan terus dapat memperkukuh keupayaan, meningkatkan kecemerlangan operasi dan mencapai pertumbuhan mampan selain terus komited mendukung tanggungjawabnya sebagai satu-satunya pemegang amanah awam Malaysia," katanya.

AmanahRaya merupakan syarikat pemegang amanah utama milik kerajaan yang terlibat antaranya dalam perancangan harta pusaka, wasiat, amanah dan perkhidmatan pemegang amanah korporat.

-- BERNAMA