BERITA TERKINI   KDN serah urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah AKPS kepada KSU KDN dan KSN – Saifuddin Nasution | JPN keluarkan 275,785 MyKad generasi baharu setakat 20 Okt , Johor tertinggi sebanyak 31,392 kad - Saifuddin Nasution | Generasi tahfiz perlu kuasai, cipta teknologi masa depan - TPM Ahmad Zahid | Pendidikan tahfiz perlu lahirkan ilmuwan, pemimpin masa depan – Ahmad Zahid | Adinda Sultan Terengganu,Tengku Baderul Zaman mangkat pada 1.20 pagi tadi di Kuala Lumpur - Dato’ Pengelola Bijaya Diraja | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan Susulan Aktiviti Pengambilan Untung

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan kemungkinan aktiviti pengambilan untung, meskipun harga tenaga meningkat susulan ketegangan yang berterusan di Asia Barat.

Peniaga kanan minyak sawit kumpulan syarikat Interband Jim Teh berkata paras inventori minyak sawit Malaysia yang tinggi sebanyak 3.51 juta tan pada September 2026 juga boleh menjejaskan sentimen pasaran.

Ad Banner

“Oleh itu, harga MSM dijangka diniagakan antara RM4,100 hingga RM4,200 satu tan minggu depan, dengan kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata permintaan fizikal dari China dan India kekal berhati-hati berikutan paras harga semasa, manakala permintaan dijangka berterusan dari Pakistan, negara-negara Asia Barat, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Peniaga proprietari Iceberg X David Ng yang turut menyokong Teh berkata niaga hadapan MSM mungkin diniagakan dalam julat terhad secara berhati-hati minggu depan apabila peniaga memantau anggaran eksport baharu minyak sawit, prospek pengeluaran serta pergerakan harga minyak kacang soya dan minyak mentah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Justeru, kami melihat paras sokongan sekitar RM4,600 satu tan dan paras rintangan pada RM4,800. Penembusan berterusan melepasi paras rintangan itu berpotensi membuka ruang kepada kenaikan selanjutnya,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 meningkat RM51 kepada RM4,587 satu tan, Disember 2026 naik RM57 kepada RM4,733 satu tan, manakala Januari 2027 mengukuh RM49 kepada RM4,818 satu tan.

Sementara itu, kontrak Februari dan Mac 2027 masing-masing meningkat RM50 kepada RM4,902 dan RM4,976 satu tan, manakala April 2027 naik RM48 kepada RM5,030 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 538,346 lot daripada 604,284 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 341,116 kontrak daripada 337,867 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi November Selatan meningkat RM50 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA