BERITA TERKINI   Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | Seramai 4,008 pelarian Myanmar akan didaftarkan di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, proses dijangka selesai suku keempat tahun ini - KDN | 

CIMB Selesai Ujian Rintis Penyelesaian Sukuk Bertoken RM1.38 Bilion

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd menyelesaikan ujian rintis penyelesaian sukuk bertoken menggunakan deposit bertoken, melibatkan sukuk bertoken bernilai RM1.38 bilion yang dilanggan oleh 12 pelabur institusi.

Ujian rintis itu dilakukan berhubung dengan penerbitan sukuk bernilai RM1.68 bilion di bawah program sukuk wakalah senior sedia ada CIMB Islamic Bank Bhd bernilai RM10 bilion, yang menarik penyertaan 46 pelabur, menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia memaklumkan, daripada jumlah penerbitan itu, sukuk bernilai RM1.38 bilion diterbitkan dalam bentuk bertoken dan dilanggan oleh 12 pelabur institusi, manakala baki RM300 juta diterbitkan sebagai sukuk tradisional.

Ad Banner

Kumpulan itu menambah, tokenisasi membolehkan aset kewangan konvensional seperti sukuk diwakili secara digital menggunakan teknologi lejar teragih.

“Apabila digabungkan dengan deposit bertoken, yang mewakili wang bank perdagangan secara digital, ia berpotensi membolehkan automasi yang lebih meluas serta penyelesaian transaksi kewangan yang lebih bersepadu.

“Ini akhirnya dapat mengurangkan kelewatan dalam penyelesaian, meningkatkan pengurusan mudah tunai dan menjadikan pergerakan dana lebih cekap,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut CIMB Group, ujian rintis itu dilakukan sebagai sebahagian daripada penyertaannya dalam Hab Inovasi Aset Digital Bank Negara Malaysia (BNM), yang menyediakan persekitaran terkawal untuk institusi kewangan menguji aplikasi aset digital baharu.

“CIMB juga turut mengadakan libat urus dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung pembangunan produk pasaran modal bertoken.

“Lapisan tokenisasi tidak mengubah struktur ekonomi atau syariah yang mendasari sukuk itu,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Serantau Institusi Kewangan dan Tokenisasi Perbankan Borong Kumpulan CIMB Group, Sylvia Wong berkata tokenisasi akhirnya dapat memudahkan pergerakan dana yang lebih pantas dan mengurangkan kos transaksi, walaupun industri ini masih di peringkat awal.

“Bayangkan, ia (dibenarkan) untuk dilakukan secara serta-merta untuk RM100, tetapi bolehkah anda bayangkan jika ia dilakukan secara serta-merta untuk RM100 juta? Mungkin boleh, (tetapi) bank mungkin belum bersedia untuk penyelesaian transaksi sebesar itu secara lancar,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Wong berkata, ujian rintis itu akan membantu CIMB memahami dengan lebih baik bagaimana komponen berbeza dalam transaksi bertoken boleh dihubungkan ketika sistem kewangan bergerak ke arah penyelesaian transaksi yang berpotensi lebih pantas dan cekap.

“Kami masih sebahagian daripada perjalanan ini. Sekali lagi, ini hanyalah ujian rintis, sekadar untuk mengingatkan semua pihak. Saya ingin mengetahui bagaimana komponen-komponen ini boleh saling dihubungkan dan sebagainya.

“Tetapi jika anda dapat membayangkan masa depan -- sesuatu yang lebih lancar atau apa yang sepatutnya saya katakan, untuk benar-benar mengurangkan kos, saya fikir pada akhirnya (kita harus bergerak ke arah) keupayaan untuk membolehkan pergerakan dana yang lebih pantas,” katanya.

-- BERNAMA